Halaman

Khamis, 5 Mac 2020

Contoh karangan perbincangan


Nota:  Karangan yang dikemukakan sebagai contoh ini (semester 1 sidang 2019-2020) disalin sepenuhnya tanpa sebarang penbetulan/pindaan. Oleh itu, ia masih mengandungi kesalahan khususnya dari segi tatabahasa (ejaan, imbuhan, penggunaan perkataan, dan struktur ayat dan frasa).

Soalan 2:  Had umur mengundi yang diturunkan pada umur 21 tahun menjadi 18 tahun akan memberikan peluang kepada generasi muda untuk sama-sama menentukan masa hadapan negara. Bincangkan.

        Had umur mengundi yang diturunkan pada umur 21 tahun menjadi 18 tahun akan memberi peluang kepada generasi muda untuk sama-sama menentukan masa hadapan negara. Keputusan pindaan rang undang-undang yang telah lulus di parlimen baru-baru ini menimbulkan pelbagai reaksi dari banyak pihak. Penurunan had umur mengundi dari 21 tahun tahun kepada 18 akan membuka banyak ruang untuk penambahbaikan dalam sistem perundangan negara. Tidak dinafikan juga banyak isu yang akan timbul dengan penurunan had umur mengundi ini.
        Antara kebaikan penurunan had umur mengundi kepada negara adalah pertambahan idea-idea yang baru dan bernas. Generasi muda kini yang banyak bergaul serta terdedah dengan budaya luar akan mempunyai lebih banyak idea bernas yang dapat disumbangkan. Mereka lebih berani umtuk bersuara, mencuba idea baru dan tidak terlibat dengan pemikiran di takuk lama. Hal ini amat penting kerana generasi muda meyumbang kepada sebahagian besarjumlah penduduk di Malaysia. Dengan penurunan had umur mengundi, perkara ini akan memberi ruang kepada mereka untuk membantu dalam proses perundangan negara.
        Selain itu, dengan penurunan had umur mengundi, generasi muda juga berpeluang untuk membuat keputusan sendiri. Pada umur 18 tahun, mereka boleh dihadapkan ke mahkamah, membuat akuan sumpah serta memiliki lesen memandu, tetapi mereka tidak dibenarkan untuk membantu dalam proses pengundian. Hal ini amat menghairankan dan tindakan kerajaan untuk menurunkan had umur mengundi adalah sangat wajar. Negara-negara maju yang lain seperti Amerika Syarikat, Perancis dan Jepun sudah lama menyelaraskan had umur mengundi kepada 18 tahun. Negara jiran kita seperti Singapura dan Thailand juga sudah lama melaksanakan perkara ini. Penurunan had umur mengundi akan menyempurnakan hak mereka sebagai warganegara Malaysia yang dewasa.
        Generasi muda yang mula mengundi pada umur 18 tahun juga akan menimbulkan banyak masalah kepada negara. Sesetengah mereka masih lagi tidak matang dan terburu-buru dalam membuat keputusan. Dalam proses untuk mengundi, mereka perlu mengenal pasti calon pilihan mereka dan apakah kesan dan sumbangan yang boleh diberikan calon pilihan. Dalam memajukan negara, calon yang terbaik haruslah dipilih dan sikap generasi muda yang tidak memandang serius perkara ini akan menyebabkan mereka mengundi deangan membabi buta.
        Selain itu, generasi muda juga ialah golongan yang sangat mudah dipengaruhi. Mereka lebih berminat kepada hiburan dan perkara yang tidak berfaedah berbanding menceburkan diri dalam arena politik. Kurangnya pendedahan akan menjadikan mereka individi yang tidak berpendiriandan hanya mengikut khalayak ramai. Proses pengundian juga sarat dengan fitnah dan janji manis dari calonyang bertanding. Generasi muda memerlukan ajaran dan teguran dari generasi terdahulu supaya dapat memilih calon yang terbaik untuk negara.
        Generasi muda juga ialah golongan yang masih mentah dan perlu banyak belajar dalam proses pilihan raya. Kurangnya pendedahan pada peringkat lebih awal menyebabkan mereka takut untuk berhadapan dengan pilihan raya. Kerajaan sepatutnya menjalankan pelbagai kursus, ceramah dan kempen untuk melatih mereka dalam proses pengundian. Pihak sekolah dan universiti juga boleh terlibat dalam membantu hal ini dengan mengadakan proses pilihan raya kecil di institusi masing-masing bagi memilih wakil pelajar. Dengan adanya pendedahan dari awal proses pilihan raya dapat berjalan dengan lancar dan calon yang terbaik dapat dipilih.
        Kesimpulannya, penurunan had umur mengudi akan memberi peluang kepada generasi muda untuk sama-sama memajukan negara. Tetapi golongan muda ini perlu dididik dan diasuh kerana mereka masih lagi mentah dan tidak mahir dalam ilmu pilihan raya. Dengan adanya generasi muda, idea-idea bernas yang disalurkan hendaklah didengari dan diambil perhatian oleh pihak berwajib. Hal ini amat penting demi kemajuan negara yang akan diwariskan kepada generasi mendatang.

570 perkataan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan