Halaman

Isnin, 2 Ogos 2010

Frasa Kerja (FK) & FK Tak Transitif

1.1 Pengenalan

Frasa kerja (FK) adalah antara empat kategori frasa yang terdapat dalam bahasa Malaysia. Ia mempunyai fungsi yang banyak dalam pembinaan frasa dan ayat. Oleh sebab itu pemahaman mengenai frasa ini penting bagi seseorang pengguna bahasa untuk menjana frasa dan ayat yang gramatis.

1.2. Definisi

FK ialah perkataan atau sederetan perkataan yang digunakan untuk menggambarkan perbuatan, sama ada melibatkan pergerakan atau tidak, oleh manusia, haiwan, benda dan unsur abstrak.

1.3 Ciri-ciri

FK boleh dikenal pasti melalui ciri khususnya iaitu ia boleh didahului oleh kata bantu (aspek dan ragam). Contoh FK yang didahului oleh kata bantu ialah (1a-d) yang berikut.

(1) a. akan tidur
b. sedang menonton televisyen
c. hendak makan
d. suka membaca

Dalam (1), FK “akan tidur” (1a), “sedang menonton televisyen” (1b) masing-masing didahului oleh kata bantu aspek “akan” dan “sedang”. FK “hendak makan” (1c) dan “suka membaca” (1d) pula masing-masing didahului oleh kata bantu ragam “hendak” dan “suka”.

1.4 Jenis

FK boleh dibahagikan kepada dua jenis utama, iaitu tak transitif dan transitif. Perbezaan antara kedua-duanya ialah FK tak transitif (2-ac) tidak mempunyai objek sementara FK transitif (3a-c) sebaliknya.

(2) a. Bayi itu menangis.
b. Dia sudah keluar.
c. Mereka sedang bermain.

(3) a. Ali membaca buku motivasi.
b. Siti menggulai kopi.
c. Mereka memasuki bangunan itu.

“Menangis” (2a), “sudah keluar” (2b) dan “sedang bermain” ialah FK tak transitif kerana masing-masing tidak mempunyai objek. “Membaca” (3a), “menggulai” (3b) dan “memasuki” (3c) ialah FK transitif kerana masing-masing mempunyai objek, iaitu “buku motivasi”, “kopi” dan “bangunan itu”.

Perbezaan lain ialah FK transitif boleh dipasifkan manakala FK tak transitif tidak.


1.4.1 FK Tak Transitif

FK tak transitif ialah FK yang tidak mempunyai objek. Walau bagaimanapun sebahagiannya mempunyai pelengkap. Oleh itu, FK tak transitif dapat dibahagikan kepada dua jenis, iaitu tak berpelengkap dan berpelengkap.

1.4.1.1 FK Tak Transitif Tak Berpelengkap

FK tak transitif tak berpelengkap ialah FK yang tidak memerlukan sebarang unsur untuk menyempurnakan maksudnya. Contohnya ialah (2a-c), dicatat semula sebagai (4a-c).

(4) a. Bayi itu menangis.
b. Dia sudah keluar.
c. Mereka sedang bermain.

Maksud ayat (4a-c) yang mengandungi FK tak transitif tak berpelengkap “menangis”, “sudah keluar” dan “sedang bermain” sudah sempurna walaupun tiada sebarang unsur mengiringi FK berkenaan.

1.4.1.2 FK Tak Transitif Berpelengkap

FK tak transitif berpelengkap ialah FK yang memerlukan kehadiran unsur untuk menyempurnakan maksudnya. Contohnya ialah (5a-c) yang berikut:

(5) a. Siti menjadi guru.
b. Keadaannya beransur baik.
c. Dr Ali pergi ke Pulau Pinang.

Maksud ayat (5a-c) yang mengandungi FK tak transitif tak berpelengkap “menjadi”, “beransur” dan “pergi” tidak akan sempurna tanpa unsur pelengkapnya, iaitu “guru”, “baik” dan “ke Pulau Pinang”.

(5’) a. *Siti menjadi.
b. *Keadaannya beransur.
c. *Dr Ali pergi.

Nota: Tiga jenis frasa yang boleh menjadi pelengkap FK tak transitif berpelengkap ialah
frasa nama (“guru” dalam (5a)), frasa adjektif (“baik” dalam (5b)) dan frasa sendi
nama (“ke Pulau Pinang” dalam (5c)).

Panduan: i) Sebahagian besar pelengkap FK tak transitif berpelengkap terdiri daripada
frasa sendi nama.

ii) Pelengkap FK tak transitif berpelengkap berimbuhan ber+_+kan ialah frasa
nama (6).

(6) Hang Tuah bersenjatakan keris Taming Sari.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan