Halaman

Selasa, 8 Julai 2008

Perbezaan Menceritakan dengan Bercerita

Kata kerja ialah salah satu kategori perkataan utama dalam mana-mana bahasa termasuk bahasa Malaysia (BM). Pada umumnya, terdapat dua subkategori kata kerja iaitu kata kerja transitif dan kata kerja tak transitif. Kesalahan yang biasa dilakukan berkaitan penggunaan dua subkategori kata kerja ini adalah tentang penstrukturan ayat yang mengandungi perkataan jenis ini.

Oleh sebab kata kerja transitif mesti diikuti oleh objek, struktur ayat yang mengandungi kata kerja jenis ini ialah subjek diikuti oleh kata kerja diikuti oleh objek (ditulis secara ringkas sebagai berstruktur SKO). Contohnya ialah ayat (1) yang berikut:

(1) Sarah menceritakan kisah Sang Kancil dengan buaya.

Dalam ayat (1), “Sarah” sebagai subjek ayat diikuti oleh kata kerja transitif “menceritakan” diikuti oleh objek “kisah Sang Kancil dengan buaya”. Oleh itu, ayat ini gramatis (mematuhi rumus tatabahasa baku) kerana ia menepati struktur ayat SKO dalam penggunaan kata kerja transitif. Kesalahan yang biasa dilakukan oleh pengguna BM adalah kerana tidak mematuhi struktur ini. Lebih tepat lagi ialah kesalahan meletakkan kata praposisi (kata sendi nama) di antara kata kerja transitif dengan objek. Contohnya ialah ayat (2) yang berikut:

(2) *Sarah menceritakan tentang kisah Sang Kancil dengan Buaya.

Dalam ayat (2), kata praposisi “tentang” diletakkan di antara kata kerja “menceritakan” dengan objek “kisah Sang Kancil dengan buaya”. Oleh sebab ayat ini tidak menepati struktur SKO, ia dianggap tidak gramatis (ditandai *). Perlu juga dijelaskan bahawa memang terdapat sebilangan kecil ayat yang kata kerja transitifnya diikuti oleh frasa praposisi, tidak diikuti terus oleh objek. Dengan kata lain, frasa praposisi diletakkan di antara kata kerja transitif dengan objek. Contohnya ialah ayat (3) yang berikut:

(3) Sarah membaca dengan tekun buku itu.

Dalam (3), frasa praposisi “dengan tekun” diletakkan di antara kata kerja transitif “membaca” dengan objek “buku itu”. Ayat ini tetap gramatis kerana ia sebenarnya ialah ayat separa songsang, iaitu sebahagian daripada predikatnya telah melalui transformasi pergerakan. Bahagian predikat yang dimaksudkan ialah unsur keterangan cara, iaitu “dengan tekun”, telah melalui transformasi pergerakan dari posisi akhir ke posisi tengah ayat. Ayat asalnya ialah (3’) yang berikut:

(3’) Sarah membaca buku itu dengan tekun.

Ayat (3’) menepati struktur SKO, iaitu subjek “Sarah” diikuti oleh kata kerja “membaca” diikuti oleh objek “buku itu”. Frasa “dengan tekun” hanyalah unsur tambahan predikat yang tanpanya ayat (3’’) masih gramatis.

(3’’) Sarah membaca buku itu.

Perlu juga diingatkan bahawa tidak semua proses penyongsangan seperti ini dapat menjana ayat yang gramatis. Ada kalanya, penyongsangan seperti ini akan menjana ayat yang tidak gramatis (4) atau janggal (5).

(4) *Sarah membaca sejak semalam buku itu.

(5) ?Ali mengangkat dari bawah rumahnya kotak-kotak itu.

Oleh sebab tiada rumus tertentu untuk menentukan status (gramatis, tidak gramatis atau janggal) ayat yang dijana melalui proses penyongsangan seperti ini, kemahiran berbahasa pengguna BM amat diperlukan.

Bercerita pula ialah kata kerja tak transitif. Sebahagian besar kata kerja jenis ini diikuti oleh frasa praposisi. Oleh sebab itu, struktur ayat yang mengandungi kata kerja jenis ialah ialah subjek diikuti oleh kata kerja diikuti oleh frasa praposisi (ditulis secara ringkas sebagai berstruktur SKP). Contohnya ialah ayat (6) yang berikut:




(6) Sarah bercerita tentang kisah Sang Kancil dengan buaya.

Dalam ayat (6), “Sarah” sebagai subjek ayat diikuti oleh kata kerja tak transitif “bercerita” diikuti oleh frasa praposisi “tentang kisah Sang Kancil dengan buaya”. Oleh itu, ayat ini gramatis kerana ia menepati struktur ayat SKP dalam penggunaan kata kerja tak transitif. Kata praposisi “tentang” tidak boleh digugurkan daripada ayat ini kerana ia menyalahi struktur SKP.

(7) *Sarah bercerita kisah Sang Kancil dengan buaya.

Perbezaan antara perkataan menceritakan dengan bercerita adalah dari segi subkategori yang dianggotainya. Menceritakan ialah kata kerja transitif sementara bercerita ialah kata kerja tak transitif. Perbezaan ini mencetuskan perbezaan struktur ayat, iaitu ayat yang mengandungi kata kerja transitif menceritakan berstruktur SKO sementara sebahagian besar ayat yang mengandungi kata kerja tak transitif bercerita berstruktur SKP.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan