Halaman

Selasa, 8 Julai 2008

Perbezaan Ialah dengan Adalah

Dalam bahasa Malaysia, terdapat satu golongan perkataan yang agak unik kerana ia hanya terdiri daripada dua perkataan. Golongan perkataan yang dimaksudkan ialah kata pemeri. Dua kata pemeri ialah ialah dan adalah. Fungsi kata pemeri adalah sebagai pemisah antara subjek dengan predikat ayat. Dengan kata lain, frasa yang hadir sebelum kata pemeri ialah subjek ayat sementara frasa yang hadir selepas kata pemeri ialah predikat ayat. Sebagai contoh, perhatikan ayat (1) yang berikut:

(1) Putra Jaya ialah pusat pentadbiran baru Malaysia.

Dalam ayat (1), frasa “Putra Jaya” ialah subjek ayat manakala frasa “pusat pentadbiran baru Malaysia” ialah predikat ayat. Kedua-duanya (subjek dan predikat) dipisahkan oleh kata pemeri ialah. Sebenarnya, kehadiran kata pemeri dalam ayat seperti (1) hanya bersifat pilihan. Dengan kata lain, tanpa kehadiran ialah ayat (1’) yang dijana tetap gramatis.

(1’) Putra Jaya pusat pentadbiran Malaysia.

Bagaimanapun, bagi ayat yang lebih panjang, kehadiran kata pemeri dapat membantu meningkatkan kefahaman kerana pemisahan antara subjek dengan predikat ayat adalah lebih jelas.

(2) Putra Jaya yang terletak di tengah-tengah Malaysia ialah pusat pentadbiran
baru negara ini.

(2’) Putra Jaya yang terletak di tengah-tengah Malaysia pusat pentadbiran baru
negara ini.

Maksud ayat (2) lebih jelas berbanding ayat (2’) kerana kehadiran kata pemeri ialah menyebabkan pemisahan yang nyata antara subjek ayat (Putra Jaya yang terletak di tengah-tengah Malaysia) dengan predikat ayat (pusat pentadbiran baru negara ini). Ketiadaan kata pemeri ialah dalam (2’) menyebabkan pemisahan tersebut menjadi agak kabur.

Kesalahan yang sering dilakukan dalam penggunaan kata pemeri ini dapat dibahagikan kepada dua jenis. Pertama, menggunakan kata pemeri adalah dalam struktur ayat yang sepatutnya menggunakan kata pemeri ialah, atau sebaliknya. Dengan kata lain, kesalahan menukar ganti penggunaan kata pemeri tersebut dengan sewenang-wenangnya. Kedua, menggunakan kata pemeri adalah dalam struktur ayat yang tidak sepatutnya menggunakan sebarang kata pemeri.

Contoh kesalahan jenis pertama terlihat dalam ayat (3) sementara contoh kesalahan jenis kedua terlihat dalam ayat (4).

(3) *Putra Jaya adalah pusat pentadbiran baru Malaysia.
(4) *Tuan-tuan adalah dijemput menghadiri majlis ini.

Ayat (3) dan (4) tidak gramatis kerana penggunaan kata pemeri adalah. Ayat pertama berstruktur FN + FN (subjek ayat “Putra Jaya” ialah FN (frasa nama) dan predikat ayat “pusat pentadbiran Malaysia” juga FN). Dalam ayat yang berstruktur sebegini, penggunaan kata pemeri yang gramatis ialah ialah. Ayat kedua pula berstruktur FN + FK (subjek ayat “tuan-tuan” ialah FN dan predikat ayat “dijemput menghadiri majlis ini” ialah FK (frasa kerja)). Dalam ayat yang berstruktur sebegini, kata pemeri tidak boleh digunakan.

Kata pemeri adalah digunakan dalam dua keadaan, iaitu di dalam ayat yang berstruktur FN + FA (frasa adjektif) dan FN + FSN (frasa sendi nama). Contoh penggunaannya adalah seperti ayat (5) dan (6) yang berikut:

(5) Penubuhan Putra Jaya sebagai pusat pentadbiran baru negara ini adalah amat
dialu-alukan.

(6) Kediaman rasmi Perdana Menteri adalah antara bangunan utama di Putra Jaya.

Ayat (5) berstruktur FN + FA (subjek ayat “penubuhan Putra jaya” ialah FN dan predikat ayat “amat dialu-alukan” ialah FA). Ayat (6) pula berstruktur FN + FSN (subjek ayat “kediaman rasmi Perdana Menteri” ialah FN dan predikat ayat “antara bangunan utama di Putra Jaya” ialah FSN). Oleh itu, penggunaan kata pemeri adalah adalah gramatis.

Perlu juga dijelaskan bahawa sekiranya sesuatu ayat disongsangkan, penggunaan kata pemeri tidak berubah walaupun struktur zahir ayat telah berubah. Sebagai contoh, sekiranya ayat (6) disongsangkan, ayat yang terjana adalah seperti (6’) yang berikut:

(6’) Antara bangunan utama di Putra Jaya adalah kediaman rasmi Perdana Menteri.

Perhatikan bahawa penyongsangan ayat seperti ini tidak mengubah penggunaan kata pemeri adalah walaupun struktur zahir ayat (6’) ini ialah FSN + FN.

Seterusnya, dalam ayat berstruktur FN + FK yang kata kerja dalam FKnya digugurkan, penggunaan kata pemeri adalah tetap dianggap melanggar rumus walaupun pada zahirnya ayat itu berstruktur FN + FSN. Sebagai contoh, ayat (7) yang dijana adalah tidak gramatis.

(7) *Encik Hassan adalah di pejabatnya.

Walaupun ayat (7) pada zahirnya berstruktur FN + FSN (subjek ayat “encik Hassan” ialah FN dan predikat ayat “di pejabatnya” ialah FSN), penggunaan kata pemeri adalah menyebabkan ia tidak gramatis kerana struktur sebenarnya (sebelum pengguguran kata kerja “berada”) ialah FN + FK.

(7’) *Encik Hassan adalah berada di pejabatnya.

Ayat (7’) berstruktur FN + FK (subjek ayat “encik Hassan” ialah FN dan predikat ayat “berada di pejabatnya” ialah FK).

Begitu juga, dalam ayat berstruktur FN + FN yang predikatnya terdiri daripada FK yang berfungsi sebagai FN, penggunaan kata pemeri ialah dianggap tidak melanggar rumus. Sebagai contoh, ayat (8) yang dijana adalah gramatis.

(8) Kegemaran Sarah ialah berjoging.

Walaupun ayat (8) pada zahirnya berstruktur FN + FK (subjek ayat “kegemaran Sarah” ialah FN dan predikat ayat “berjoging” ialah FK), penggunaan kata pemeri ialah tidak menyebabkan ia tidak gramatis kerana struktur sebenarnya (sebelum pengguguran kata nama “aktiviti”) ialah FN + FN.

(8’) Kegemaran Sarah ialah aktiviti berjoging.

Ayat (8’) berstruktur FN + FN (subjek ayat “kegemaran Sarah” ialah FN dan predikat ayat “aktiviti berjoging” ialah FN).

Bukti bahawa “berjoging” bukan FK ialah kata bantu aspek, misalnya “sedang”, tidak boleh hadir di hadapannya.

(8’’) *Kegemaran Sarah sedang berjoging.

Rumusannya ialah penggunaan kata pemeri ialah adalah gramatis dalam ayat berstruktur FN + FN. Penggunaan kata pemeri adalah pula gramatis dalam ayat berstruktur FN + FA dan FN + FSN. Penggunaan mana-mana kata pemeri adalah tidak gramatis dalam ayat berstruktur FN + FK.

4 ulasan:

  1. Apalah punya penerangan ni - membuatkan orang keliru sahaja. Apa pula makna "gramatis"? Sepanjang saya menggunakan Bahasa Melayu saya tidak pernah mendengar perkataan "gramatis". Kenapakah pengguna-pengguna Bahasa Melayu senang sangat mencedok perkataan-perkataan daripada bahasa asing apabila tidak dapat memikirkan perkataan Bahasa Melayu yang sesuai untuk digunakan? Pada pendapat saya, "ialah" dan "adalah" adalah sama sahaja dari segi penggunaannya - yang membezakan hanyalah "kesedapan bunyinya" dalam sesuatu ayat.

    BalasPadam
  2. sdr Tanpa Nama,
    Bahasa ada hukumnya, sama macam matematik, salah rumus, jawapan boleh salah. begitu juga dengan bahasa Melayu,

    Apa yang diterangkan oleh penulis, saya beranggapan satu penerangan yang baik dan menjawab kemuskilan saya. jawapan yang diberi pada pendapat saya mengikut hukum-hukum tatabahasa.

    Saudara Tanpa Nama,
    tanda sesuatu bahasa itu maju ialah disebabkan oleh pengembangannya. makin banyak istilah yang dihasilkan, makin majulah sesuatu bahasa itu. kita banyak meminjam bahasa dari luar kerana kita kurang perkataan yang digunakan. cuba saudara rujuk sejarah bahasa Melayu, hanya ada 4-5 perkataan sahaja ketika itu (sila betulkan jika saya salah)

    Istilah "gramatis" pada sebutan yang mudah ialah "kesedapan bunyi" pada pendapat saya. tetapi isitilah ini telah diterima pakai dalam bahasa Melayu, saudara bolehlah rujuk DBP dan penerangan pakar-pakar tentang bahasa.

    pada pendapat saya,
    ialah dan adalah tetap berbeza. jika disoal dari sudut matematik, adakah 1-1 = 1? dan adakah 1+1=2?

    anggap sahaja, ialah itu (-), adalah itu (+). adakah betul jawapan kita sekiranya (-) dan (+) itu digunakan pada tempat yang berbeza?mungkinkah jawapan yang terhasil akan betul/salah?

    Matematik ada hukumnya,
    B.Inggeris ada hukumnya,
    B.Melayu pun ada hukumnya. hukum tersebut kita panggil sebagai tatabahasa.

    rujuklah buku Tatabahasa Dewan, Kamus DBP (terbaharu) untuk melihat istilah-isitilah terbaharu.

    rujuk jugalah buku hasil karya ASRAF, terbitan Sasbadi, mungkin keresahan saudara akan terubat.

    Sekian,
    sedikit ilmu dari budak baharu

    BalasPadam
  3. Saya setuju dengan saudara SJKT Ladang Senama.

    Setiap bahasa ada hukumnya. Dek kerana kita tak menekankannya dalam kehidupan harian tak bermakna sesuatu tiada undang-undangnya.

    Penerangan yang berilmiah. Saya sekarang lebih memahami apa beza antara 2 perkataan tersebut.

    Terima kasih kepada tuan tanah.

    Saya harap akan ada lebih banyak penerangan daripada Tuan Tanah.

    Sila update yer.

    Izham Alias.

    BalasPadam
  4. Apakah perbezaan antara Bahasa Melayu dengan Bahasa Malaysia?

    BalasPadam