Halaman

Rabu, 1 April 2020

Ciri-ciri ayat yang baik dan berkesan


Objektif Topik

ü  memahami enam ciri ayat yang baik dan berkesan (pengetahuan, pemahaman)
ü  membina ayat yang baik dan berkesan (aplikasi)

Ciri-ciri ayat yang baik

Pandangan Gory Keraf (1980) dalam buku “Warna dan Suasana Perancangan Bahasa Melayu di Malaysia” oleh Awang Sariyan (Dewan Bahasa dan Pustaka, 2000), ada enam cir ayat yang baik, iaitu:

1.      Fokus (satu idea)
2.      Jitu
3.      Logik
4.      Bervariasi
5.      Sejajar
6.      Berpenekanan  

Nota: Ciri yang akan dibincangkan dalam nota ini empat sahaja (fokus,  logik, bervariasi dan sejajar). Ciri “jitu” tidak dibincangkan kerana ia berkaitan dengan ketepatan tatabahasa yang ada dibincangkan dalam nota bertajuk “Kesalahan Umum Tatabahasa”. Ciri “berpenekanan” tidak dibincangkan kerana ia bukanlah masalah besar dalam kursus ini.

1. Fokus (satu idea)

Satu ayat mengandungi satu idea sahaja. Ciri ini dapat memastikan ayat yang dibina tidak berjela-jela (terlalu panjang) sehingga boleh menjejaskan pemahaman pembaca.

Panduan: Sesuatu ayat seharusnya boleh habis dibaca dalam satu nafas sahaja.
                Sesuatu ayat seharusnya boleh difahami dengan sekali bacaan sahaja.

Contoh ayat yang tidak fokus (mengandungi dua idea):

“Pengaruh Barat yang kuat ialah sebab utama berlakunya
pencemaran budaya dan seterusnya hal ini  akan meracuni
jiwa anak-anak muda yang tidak dapat memahami dan
menghayati erti kemerdekaan negara ini yang sebenarnya.”

Yang betul (jadikan 2 ayat):

“Pengaruh Barat yang kuat ialah sebab utama berlakunya
pencemaran budaya. Seterusnya, hal ini  akan meracuni
jiwa anak-anak muda yang tidak dapat memahami dan
menghayati erti kemerdekaan negara ini.”

2.  Jitu

Ciri ini berkaitan penggunaan bahasa yang menepati rumus tatabahasa atau penerimaan/kebiasaan penggunaan umum (lihat nota “Kesalahan Umum Penggunaan Perkataan”, “Kesalahan Umum Struktur”, “Kesalahan Umum Imbuhan” dan “Kesalahan Umum Ejaan”).

3. Logik

Penghujahan yang baik ialah yang dapat diterima akal yang sihat, bernas dan berpada.

Contoh hujah kurang bernas (dangkal):

“Kita mesti menjaga kebersihan negara ini supaya imej kita
dipandang tinggi oleh negara luar, khususnya negara-negara barat.”

Hujah ini dianggap dangkal/cetek kerana “supaya imej dipandang tinggi” bukanlah tujuan yang utama dan penting “kita menjaga kebersihan negara”, apa lagi jika orang luar itu ialah “negara-negara barat” (bekas penjajah kita).

Hujah bernas:

“Kita mesti menjaga kebersihan negara ini supaya rakyat
dapat hidup dalam suasana sihat dan ceria.”

Contoh hujah berlebih-lebihan (tidak berpada):

“Kita mesti menjaga kebersihan negara ini untuk mencapai
matlamat Wawasan 2020.”

Hujah ini dianggap berlebih-lebihan kerana “menjaga kebersihan negara” hanyalah satu daripada banyak lagi usaha (beratus-ratus, mungkin beribu-ribu) yang perlu dilaksanakan untuk “mencapai matlamat Wawasan 2020”.

Contoh hujah palsu (tidak bernas):

“Masalah pengangguran negara ini tidak serius kerana
ada negara lain, seperti Bangladesh, yang menghadapi
masalah pengangguran yang lebih serius.”

Hujah ini dianggap palsu (dusta) kerana tahap keseriusan sesuatu masalah tidak diukur dengan cara membandingkan masalah tersebut dengan masalah pihak lain. Hanya kerana ada pihak lain yang masalahnya lebih serius, tidak menjadikan masalah kita tidak serius.

Hujah kukuh (disokong data):

“Masalah pengangguran negara ini tidak serius kerana kadarnya
tidak pernah melebihi lima peratus sejak 10 tahun lalu.”


4. Bervariasi

a) Peringkat perkataan

Bervariasi bermaksud menggunakan perkataan yang sinonim (berbeza tetapi sama makna) atau berujukan sepunya (perkataan berbeza tetapi maksud/rujukannya sama). Tegasnya, jangan mengulangi perkataan yang sama sahaja dalam satu ayat, satu perenggan atau sebuah karangan. Misalnya, janganlah gunakan perkataan “faktor” sahaja dalam seluruh karangan. Manfaatkanlah perkataan yang bersinonim atau yang mempunyai rujukan sepunya. Misaalnya, sinonim bagi “faktor” ialah “sebab” dan “punca”. Rujukan sepunya bagi “Malaysia” ialah “negara ini”, “negara kita”, “negara yang sedang pesat membangun” dan sebagainya.

Contoh penggunaan perkataan yang tidak bervariasi:

“Satu sebab yang menyebabkan pencemaran alam sekitar ialah …”

b) Peringkat ayat

Penggunaan pelbagai pola dan jenis ayat.


5. Sejajar

Penggunaan unsur yang sama (misalnya jenis frasa) dalam sesuatu ayat.

Contoh ayat tidak sejajar:

“Kegiatan pembinaan bahasa perlu diimbangi dengan
pengembangan bahan-bahan bahasa, penilaian terhadap
hasil pembinaan tersebut dan melakukan perubahan
strategi yang wajar.”

Ayat ini tidak sejajar kerana wujudnya pencampuran jenis frasa (dua frasa nama iaitu “pengembangan bahan-bahan bahasa” dan “penilaian terhadap hasil pembinaan tersebut”, dan satu frasa kerja iaitu “melakukan perubahan strategi yang wajar”).

Ayat Sejajar:

            “Kegiatan pembinaan bahasa perlu diimbangi dengan
             pengembangan bahan-bahan bahasa, penilaian terhadap hasil
             pembinaan tersebut dan perubahan strategi yang wajar.”

Ayat ini sejajar kerana ketiga-tiga frasa (“pengembangan bahan-bahan bahasa”, “penilaian terhadap hasil pembinaan tersebut” dan “perubahan strategi yang wajar”) adalah frasa nama.

Atau:

“Kegiatan pembinaan bahasa perlu diimbangi dengan
mengembangkan bahan-bahan bahasa, menilai hasil
pembinaan tersebut dan melakukan perubahan strategi yang wajar.”

Ayat ini juga sejajar kerana ketiga-tiga frasa (“mengembangkan bahan-bahan bahasa”, “menilai hasil pembinaan tersebut” dan “melakukan perubahan strategi yang wajar”) adalah frasa kerja.

Nota: Sebahagian besar contoh ayat yang dikemukakan adalah dari data sebenar (karangan pelajar kursus LKM400).

Ahad, 29 Mac 2020

Frasa Kerja (FK)


Objektif Topik

ü  Mengenal pasti frasa kerja (FK) melalui definisi dan cirinya
ü  Membezakan FK transitif dan FK tak transitif

1.1 Pengenalan

Frasa kerja (FK) adalah antara empat kategori frasa yang terdapat dalam bahasa Malaysia. Ia mempunyai fungsi yang banyak dalam pembinaan frasa dan ayat. Oleh sebab itu pemahaman mengenai frasa ini penting bagi seseorang pengguna bahasa untuk menjana frasa dan ayat yang gramatis.

Nota ini akan membincangkan hal-hal penting berkaitan FK, perbezaan antara FK tak transitif dengan FK transitif dan ciri-ciri penting FK tak transitif. FK transitif akan dibincangkan dalam nota yang berasingan (sila rujuk nota berkenaan).

1.2. Definisi

FK ialah perkataan atau sederetan perkataan yang digunakan untuk menggambarkan perbuatan, sama ada melibatkan pergerakan atau tidak, oleh manusia, haiwan, benda dan unsur abstrak.

1.3 Ciri-ciri

FK boleh dikenal pasti melalui ciri khususnya iaitu ia boleh didahului oleh kata bantu (aspek dan ragam). Contoh FK yang didahului oleh kata bantu (berwarna hijau) ialah (1a-d) yang berikut.

(1) a. akan tidur
      b. sedang menonton
      c. hendak makan
      d. suka membaca

Dalam (1), FK “akan tidur” (1a), “sedang menonton” (1b) masing-masing didahului oleh kata bantu aspek “akan” dan “sedang”. FK “hendak makan” (1c) dan “suka membaca” (1d) pula masing-masing didahului oleh kata bantu ragam “hendak” dan “suka”.

1.4 Jenis

FK boleh dibahagikan kepada dua jenis utama, iaitu tak transitif dan transitif. Perbezaan antara kedua-duanya ialah FK tak transitif (2-ac) tidak mempunyai objek sementara FK transitif (3a-c) mempunyai objek (bergaris bawah).

(2) a. Bayi itu menangis.
      b. Dia sudah keluar.
      c. Mereka sedang bermain.

(3) a. Ali membaca buku motivasi.
     b. Siti menggulai kopi.
     c. Mereka memasuki bangunan itu.

“Menangis” (2a), “sudah keluar” (2b) dan “sedang bermain” ialah FK tak transitif kerana masing-masing tidak mempunyai objek. “Membaca” (3a), “menggulai” (3b) dan “memasuki” (3c) ialah FK transitif kerana masing-masing mempunyai objek, iaitu “buku motivasi”, “kopi” dan “bangunan itu”.

Perbezaan lain ialah FK transitif boleh dipasifkan manakala FK tak transitif tidak.


1.4.1 FK Tak Transitif

FK tak transitif ialah FK yang tidak mempunyai objek. Walau bagaimanapun, sebahagiannya mempunyai pelengkap. Oleh itu, FK tak transitif dapat dibahagikan kepada dua jenis, iaitu tak berpelengkap dan berpelengkap.

1.4.1.1 FK Tak Transitif Tak Berpelengkap

FK tak transitif tak berpelengkap ialah FK yang tidak memerlukan sebarang unsur untuk menyempurnakan maksudnya. Contohnya ialah (2a-c), dicatat semula sebagai (4a-c).

(4) a. Bayi itu menangis.
      b. Dia sudah keluar.
      c. Mereka sedang bermain.

Maksud ayat (4a-c) yang mengandungi FK tak transitif tak berpelengkap “menangis”, “sudah keluar” dan “sedang bermain” sudah sempurna walaupun tiada sebarang unsur mengiringi FK berkenaan.

1.4.1.2 FK Tak Transitif Berpelengkap

FK tak transitif berpelengkap ialah FK yang memerlukan kehadiran unsur pelengkap (berwarna hijau) untuk menyempurnakan maksudnya. Contohnya ialah (5a-c) yang berikut:

(5) a. Siti menjadi guru.
      b. Keadaannya beransur baik.
      c. Dr Ali pergi ke Pulau Pinang.

Maksud ayat (5a-c) yang mengandungi FK tak transitif tak berpelengkap “menjadi”, “beransur” dan “pergi” tidak akan sempurna tanpa unsur pelengkapnya, iaitu “guru”, “baik” dan “ke Pulau Pinang”.

(5’) a. *Siti menjadi.
       b. *Keadaannya beransur.
       c. *Dr Ali pergi.

Nota: Tiga jenis frasa yang boleh menjadi pelengkap FK tak transitif berpelengkap ialah frasa nama (“guru” dalam (5a)), frasa adjektif (“baik” dalam (5b)) dan frasa sendi nama (“ke Pulau Pinang” dalam (5c)).

Masalahnya ialah tiada rumus yang dapat dipegang untuk menentukan kategori frasa yang menjadi pelengkap bagi sesuatu FK tak transitif tak berpelengkap. Walau bagaimanapun, dua panduan yang berikut dapat membantu kita mengatasi sebahagian masalah ini.

Panduan: i) Sebahagian besar pelengkap FK tak transitif berpelengkap terdiri daripada frasa sendi nama.

ii) Pelengkap FK tak transitif berpelengkap berimbuhan ber+_+kan ialah frasa nama (6a-c).

(6) a. Hang Tuah bersenjatakan keris Taming Sari.
     b. Keputusan itu dibuat berdasarkan cadangannya.
     c. Dia tidur berbantalkan lengan.

“Keris Taming Sari”, “cadangannya” dan “lengan” ialah pelengkap bagi FK tak transitif “bersenjatakan”, “berdasarkan” dan “berbantalkan”. Semuanya ialah FN.

Sabtu, 28 Mac 2020

Ayat (sintaks)


Objektif Topik

ü  Mengenal pasti unsur/komponen ayat
ü  Mengenali jenis-jenis ayat
ü  Memahami proses penerbitan ayat
ü  Mengetahui kesalahan lazim dalam pembinaan ayat

Sintaksis – kajian berkenaan binaan/struktur ayat (istilah bidang linguistik).

Definisi

Ayat ialah struktur (susunan perkataan) yang mengandungi topik cerita (subjek) dan cerita mengenai topik tersebut (predikat), serta mempunyai makna yang lengkap dan logik.


Unsur/Komponen Ayat

Sesuatu ayat mesti mengandungi subjek dan predikat. Pada struktur dasarnya, ayat terbentuk daripada susunan subjek diikuti oleh predikat. Biasanya diskemakan seperti yang berikut:

Ayat → subjek + predikat

Contoh: Siti + membaca buku di dalam biliknya.
              Siti - subjek.
              Membaca buku di dalam biliknya - predikat.

Selain subjek dan predikat, sesuatu ayat mungkin juga mengandungi objek, pelengkap dan keterangan/penerang. Objek ialah unsur yang hadir selepas frasa kerja transitif. Oleh itu, objek ialah sebahagian daripada predikat.

Contoh: Ali + memukul ular itu.
              Ali - subjek
              Memukul ular itu - predikat
              Memukul - frasa kerja transitif
              Ular itu - objek

Pelengkap pula ialah unsur yang hadir selepas sesetengah frasa kerja tak transitif. Oleh itu, pelengkap juga ialah sebahagian daripada predikat.

Contoh: Siti + pergi ke sekolah.
              Siti - subjek
              Pergi ke sekolah – predikat
            Pergi - frasa kerja tak transitif
            Ke sekolah - pelengkap

Keterangan boleh hadir dalam pelbagai posisi ayat tetapi ia boleh dibahagikan kepada dua kategori utama, iaitu keterangan subjek dan katerangan predikat. Keterangan subjek hadir sebelum/selepas subjek dan membentuk sebahagian daripada subjek.

Contoh: Seorang pelajar + dipilih untuk menyertai program itu.
              Seorang pelajar - subjek
              Seorang - keterangan (bilangan)

Contoh: Pelajar itu + dipilih untuk menyertai program tersebut.
              Pelajar itu - subjek
              Itu - keterangan (ketentuan)

Contoh: Dua orang pelajar USM + dipilih untuk menyertai program itu.
              Dua orang pelajar USM - subjek
              Dua orang - keterangan (bilangan dan penjodoh bilangan)
              USM - keterangan (milik)

Keterangan predikat dapat dibahagikan kepada beberapa subkategori. Antaranya adalah keterangan frasa kerja (adverba), keterangan FN objek dan keterangan pelengkap.

(1) a. Siti menelaah bersungguh-sungguh pelajarannya..
     b. Siti membaca novel kegemarannya.
     c. Dia menjadi pensyarah universiti.

Dalam (1a), frasa “bersungguh-sungguh” ialah keterangan bagi frasa kerja “menelaah”. Dalam (1b), frasa “kegemarannya” ialah keterangan bagi FN objek “novel”. Dalam (1c), frasa “universiti” ialah keterangan frasa nama pelengkap “pensyarah”. Ayat asalnya adalah seperti yang berikut:

(1) a’. Siti menelaah pelajarannya..
      b’. Siti membaca novel.
      c’. Dia menjadi pensyarah.

Jenis-jenis Ayat

Pada umumnya terdapat dua jenis ayat sahaja iaitu ayat dasar dan ayat terbitan.

Ayat Dasar

Ayat yang belum melalui proses transformasi, iaitu penyisipan/penambahan, pengguguran atau pergerakan unsur (perkataan/frasa/klausa). Ia ialah ayat asal yang daripadanya diterbitkan ayat jenis lain (ayat terbitan).

Ada empat pola ayat dasar (berdasarkan susunan subjek + predikat).

a) FN + FN
    Siti + guru.

b) FN + FAdjektif
    Siti + pandai.

c) FN + FSN (sendi nama)
    Siti + di dalam bilik.

d) FN + FKerja
    Siti + belajar.


Ayat Terbitan

Ayat terbitan diterbitkan daripada ayat dasar melalui mana-mana proses transformasi. Dari segi bilangan klausa yang terdapat di dalamnya, ayat terbitan dapat dibahagikan kepada dua jenis, iaitu ayat tunggal dan ayat majmuk. Dari segi tujuan pula, ayat terbitan dapat dibahagikan kepada beberapa jenis. Antaranya adalah ayat penyata, ayat soal, ayat perintah dan ayat seru.

a) Ayat Tunggal

Ayat yang mengandungi satu klausa/ayat sahaja.

Contoh: Siti guru sekolah rendah.
              Siti belajar di dalam biliknya.

b) Ayat Majmuk

Ayat yang mengandungi dua atau lebih klausa di dalamnya. Berdasarkan status klausa yang menganggotainya, ayat majmuk dapat dibahagikan kepada tiga jenis, iaitu gabungan, pancangan dan campuran.

a) Ayat majmuk gabungan

Ayat yang mengandungi dua atau lebih ayat/klausa yang sama taraf (tiada
ayat/klausa induk). Sebagai contoh, enam ayat yang berikut boleh digabungkan
menjadi satu ayat majmuk.

1. Dia pandai menyanyi.
2. Dia pandai berlakon.
3. Dia pandai menggubah lagu.
4. Dia pandai mengarah filem.
5. Dia pandai menulis skrip.
6. Dia pandai berlawak.

Ayat majmuk:

Dia pandai menyanyi, berlakon, menggubah lagu, mengarah filem, menulis skrip dan melawak.

b) Ayat majmuk pancangan

Ayat yang mengandungi dua ayat yang tidak sama taraf (satu ayat induk dan satu
lagi ayat kecil / klausa).

Nota: Ayat induk ialah ayat yang wujud secara bebas (tidak bergantung pada kewujudan ayat lain) sementara ayat kecil ialah ayat yang wujud secara terikat (kewujudannya bergantung pada kewujudan ayat induk).

Dari segi jenis kata hubung yang berfungsi menghubungkan klausa induk dengan
klausa kecil di dalamnya, ayat majmuk pancangan dapat dibahagikan kepada dua
jenis, iaitu komplemen dan relatif.

i) Ayat majmuk pancangan komplemen (”bahawa”, ”supaya”/”agar”)

Dia menegaskan bahawa kejayaannya dicapai melalui usaha dan pengorbanan.

Ayat induk : Dia menegaskan ”sesuatu”.
Ayat kecil : bahawa kejayaannya dicapai melalui usaha dan pengorbanan.

Perhatikan: Kewujudan ayat kecil ”bahawa kejayaannya dicapai melalui usaha
dan pengorbanan” adalah terikat dengan kewujudan ayat induk ”dia
menegaskan sesuatu”.


ii) Ayat majmuk pancangan relatif (”yang”)

Ali membaca buku yang dibelinya semalam.

Ayat induk : Ali membaca buku.
Ayat kecil : Buku dibelinya semalam.


c) Ayat Majmuk Campuran

Ayat yang mengandungi dua atau lebih ayat pelbagai jenis.

Contoh: Ali membaca buku tetapi kawan-kawannya yang keletihan telah tidur
nyenyak di dalam bilik masing-masing.

Ali membaca buku. – ayat dasar.
Kawan-kawannya yang keletihan .... – ayat majmuk pancangan relatif.


Proses Penerbitan Ayat

Terdapat tiga proses penerbitan ayat, iaitu:

Penambahan/penyisipan
Pengguguran
Penyusunan semula/pemindahan.

Dalam bahagian ini akan dibincangkan proses yang dapat menerbitkan ayat yang posisi pangkalnya tidak diisi oleh frasa nama (FN). Dengan kata lain, ayat yang tidak bermula dengan frasa nama. Hal ini perlu dijelaskan kerana ada orang berpandangan bahawa sesetengah jenis perkataan/frasa, misalnya kata tunjuk dan frasa sendi nama, tidak boleh mengisi posisi ini.

Nota: Istilah yang biasa digunakan untuk proses penerbitan ayat ialah proses       
          sintaksis atau proses transformasi.


a) Ayat bermula dengan FK, FA dan FSN

Proses transformasi yang dapat menjana ayat seperti ini ialah penyusunan semula urutan subjek dan predikat. Dalam proses ini, seluruh predikat atau sebahagian unsurnya akan dipindahkan ke pangkal ayat, lalu mengubah pola ayat menjadi predikat + subjek atau predikat (sebahagian) + subjek + predikat (sebahagian). Oleh sebab predikat ayat mungkin terdiri daripada frasa kerja (FK), frasa adjektif (FA) atau frasa sendi nama (FSN), ayat yang terjana akan bermula dengan jenis frasa ini.

(2) a. Berdamai juga mereka akhirnya.
      b. Sungguh indah pemandangan di pantai ini.
       c. Di sinilah rumah saya.

Ayat (2a) bermula dengan FK ”berdamai”, ayat (2b) bermula dengan FA ”sungguh indah” dan ayat (2c) bermula dengan FSN ”disinilah”. Ayat (2a) diterbitkan melalui pemindahan sebahagian unsur predikat ”berdamai juga akhirnya” manakala ayat (2b) dan (2c) diterbitkan melalui pemindahan seluruh predikat. Ayat asalnya adalah seperti yang berikut:

(2) a’. Mereka berdamai juga akhirnya.
      b’. Pemandangan di pantai ini sungguh indah.
      c’. Rumah saya di sinilah.

Nota: Oleh sebab ayat yang melalui proses transformasi penyusunan semula ini
berstruktur terbalik, iaitu predikat + subjek, ia juga dikenali sebagai ayat songsang.
Proses yang menerbitkannya dikenali juga sebagai penyongsangan ayat.

b) Ayat bermula dengan kata kerja, kata adjektif, kata tunjuk dan kata  
    hubung

Proses transformasi yang dapat menjana ayat seperti ini ialah pengguguran perkataan. Dalam proses ini, perkataan yang menjadi inti bagi FN yang berfungsi sebagai subjek sesuatu ayat digugurkan, meninggalkan unsur keterangan bagi FN berkenaan untuk mengisi posisi subjek ayat. Oleh sebab keterangan bagi sesuatu FN boleh terdiri daripada KK, KA, kata tunjuk atau kata hubung, ayat yang terjana akan bermula dengan jenis perkataan ini.

(3) a. Membaca meluaskan pengetahuan.
      b. Putih melambangi kesucian dan keikhlasan.
      c. Itu menara Kuala Lumpur.
      d. Yang tinggi itu menara Kuala Lumpur.

Semua ayat (3a-d) telah melalui pengguguran kata nama yang menjadi inti FN subjek. Dalam ayat (3a), KN yang digugurkan ialah ”hobi” (daripada FN ”hobi membaca”). Dalam ayat (3b) KN yang digugurkan ialah ”warna” (daripada FN ”warna putih”).

Dalam ayat (3c), KN yang digugurkan ialah ”bangunan” (daripada FN ”bangunan itu”). Perlu dijelaskan bahawa FN bentuk ini hanya boleh melalui pengguguran KN inti jika predikat ayat ialah FN (”menara Kuala Lumpur” ialah FN). Jika tidak, ayat (4a’) dan (4b’) yang dijana tidak gramatis.

(4) a. Bangunan itu sangat cantik.
      a’. *Itu sangat cantik.
      b. Bangunan itu di Kuala Lumpur.
      b’. *Itu di Kuala lumpur.

Pengguguran KN ”bangunan” daripada FN ”bangunan itu” menyebabkan ayat yang dijana tidak gramatis kerana predikat ayat berkenaan ialah FA ”sangat cantik (4a) dan FSN ”di Kuala Lumpur” (4b).

Dalam ayat (3d) KN yang digugurkan ialah ”bangunan” (daripada FN ”bangunan yang tinggi itu”). Perlu dijelaskan bahawa FN bentuk ini hanya boleh melalui pengguguran KN inti jika predikat ayat ialah FN (”menara Kuala Lumpur” ialah FN). Jika tidak, ayat (5a’) dan (5b’) yang dijana tidak gramatis.

(5) a. Bangunan yang tinggi itu sangat cantik.
      a’. *Yang tinggi itu sangat cantik.
      b. Bangunan yang tinggi itu di Kuala Lumpur.
      b’. *Yang tinggi itu di Kuala lumpur.

Pengguguran KN ”bangunan” daripada FN ”bangunan yang tinggi itu” menyebabkan ayat yang dijana tidak gramatis kerana predikat ayat berkenaan ialah FA ”sangat cantik (5a) dan FSN ”di Kuala Lumpur” (5b).

Ayat asal (sebelum pengguguran) bagi (3a-d) adalah seperti yang berikut:

(3) a’. Hobi membaca meluaskan pengetahuan.
      b’. Warna putih melambangkan kesucian dan keikhlasan.
      c’. Bangunan itu menara Kuala Lumpur.
      d’. Bangunan yang tinggi itu menara Kuala Lumpur.

Dua perkara penting yang perlu diperhatikan dalam membina ayat, khususnya ketika mengarang, ialah sesuatu ayat seharusnya boleh habis dibaca dalam satu nafas, dan ia seharusnya boleh difahami dengan sekali baca sahaja.

Nota: ayat bertanda * menunjukkan ia tidak gramatis (melanggar tatabahasa).