Halaman

Isnin, 29 Februari 2016

Cina pun tahu jawi


Bahasa dan ekonomi: Belajarlah daripada Jepun



PROF. ABDULLAH HASSAN | 30 November 2015.

*APABILA* pendidikan disampaikan dalam bahasa kebangsaan sendiri kita dapat mengekalkan keaslian minda kita. Kita dapat melihat bahawa negara-negara yang berbuat demikian mempunyai minda yang kreatif untuk mencipta alat-alat dan kaedah untuk memperbaiki kehidupan mereka.

Kita dapat melihat Jepun. Jepun menerima pendidikan Barat. Jepun meniru Barat. Tetapi, Jepun masih Jepun. Dari segi budaya ia masih Jepun. Pentadbirannya, perdagangannya, sains dan teknologinya antara yang terbaik di dunia. Inilah jatidiri Jepun. Ia timbul daripada keaslian mindanya.

Penyampaian pendidikan melalui bahasa kebangsaan sendiri telah mengekalkan minda asli yang kreatif dan jatidiri sesuatu bangsa.

Hingga 500 tahun dulu, bahasa Jepun tidak pun mempunyai sastera. Yang ada hanya lagu-lagu rakyat. Ilmu terkepung dalam bahasa Cina. Pendidikan disampaikan melalui bahasa Cina. Rakyatnya terasing daripada ilmu kerana tidak memahami bahasa Cina.

Pada tahun 1856 Commodore Perry datang dan memaksa Jepun membuka pintunya kepada dunia. Jepun perlu membuat perubahan. Jepun mesti belajar daripada Barat, menandingi Barat, dan mengalahkan Barat dalam permainannya sendiri.

Bagaimanakah pemimpin Jepun membina generasi Jepun moden? Pemimpin Jepun yang memulakan pembaruan pada Zaman Meiji, Yukichi Fuzukawa, berkata Jepun hendaklah belajar daripada Barat untuk maju.

Count Okuma dalam laporannya mengenai perkembangan pendidikan Jepun dalam Japan by Japanese (1924) mengatakan pemimpinnya mahu Jepun kekal Jepun, untuk Jepun. Jepun mahu belajar daripada Barat, tetapi mahu mengekalkan kebebasan belajar ilmu pengetahuan.

Mereka mementingkan kemandirian ilmu. Bebas menurut kerangka minda Jepun. Dengan demikian Jepun mengekalkan keaslian minda mereka.

Bagi menyampaikan ilmu kepada rakyatnya, Meiji memilih bahasa yang paling luas digunakan. Jepun mempunyai empat peringkat bahasa: bahasa bangsawan, bahasa perwira, bahasa pedagang, dan bahasa petani dan wanita. Meiji memilih bahasa petani untuk menyampaikan ilmu, sebab bahasa itulah yang paling luas penyebarannya.

Jepun juga menghadapi masalah guru, bahasa pengantar, dan istilah.Pengalaman Jepun sama saja dengan pengalaman Malaysia sekarang. Kita boleh belajar daripada Jepun. Selepas Jepun menerima dan melaksanakan pendidikan Barat, ramai pelajar dihantar ke Eropah dan Amerika untuk belajar dan membawa balik ilmu.

Oleh sebab kekurangan tenaga pengajar, pada mulanya ramai pensyarah Amerika dan Eropah diambil bertugas di universiti-universiti Jepun. Tetapi, sedikit demi sedikit mereka digantikan oleh pensyarah Jepun yang pulang dari Eropah dan Amerika tadi.

Pada mulanya 80 peratus pensyarahnya terdiri daripada ekspatriat, tetapi pada tahun 1904 bilangannya menjadi hanya sekitar 30 peratus. Sekarang hampir tiada.

Bahasa Jepun pada masa itu tidak mempunyai sistem ejaan sendiri, ia hanya menggunakan ejaan huruf kanji yang diambil daripada sistem ejaan Cina.

Oleh sebab itu Jepun membentuk sistem ejaannya sendiri, huruf hiragana untuk perkataan-perkatan Jepun dan katakana untuk perkataan-perkataan pinjaman daripada bahasa asing.

Huruf kanji masih dikekalkan. Apabila timbul masalah sebutan, Jepun memutuskan supaya sebutan menurut sebutan penutur bahasa petani digunakan. Oleh sebab itu, tidak timbul kesukaran belajar dan menggunakan bahasa Jepun dalam bidang ilmu.

Mereka juga pernah mencuba menggunakan bahasa asing sebagai bahasa pengantar. Mereka mengajarkan ilmu medan perang dalam bahasa Rusia, undang-undang dan falsafah dalam bahasa Perancis, kejuruteraan dan sains dalam bahasa Jerman, dan kemanusiaan dalam bahasa Inggeris. Amalan ini dihentikan kerana pendidikan tidak sampai dengan sempurna.

Jepun telah mementingkan menguasai ilmu dengan bebas menurut kerangkanya sendiri. Jepun juga telah menggunakan bahasanya sendiri untuk menyampaikan ilmu supaya dikuasai oleh semua rakyat. Buku-buku teks dan rujukan diterjemahkan untuk kepentingan pelajar.

Pada hari ini kita dapat melihat bagaimana Jepun telah menyerap pendidikan Barat sepenuhnya, tetapi keaslian mindanya masih kekal. Kita melihat kreativitinya meningkat. Mereka menyerap ilmu barat, tetapi berhasil mencipta barangan Jepun, televisyen Jepun, kamera Jepun, kereta Jepun, jam kuartza Jepun, dan lain-lain.

Kita dapat melihat betapa mereka menjadi kreatif kerana tidak terkepung dalam minda budaya lain. Minda Jepun menjadi dominan. Minda Jepun dapat menggunakan ilmu sains untuk membina barangan yang diperlukan.

Mereka telah berjaya belajar ilmu dari Barat, kemudian mereka mengungkapkan semula ilmu itu menurut acuan Jepun bagi menyelesaikan masalah mereka sendiri, menurut keperluan mereka sendiri.

Mereka berhasil mengambil ciri-ciri moden dari Barat dan membawa masuk ciri-ciri itu dalam masyarakat Jepun supaya Jepun menjadi moden. Mereka tidak mengadaptasi segala-galanya, bahasa, budaya dan ciri-ciri barat untuk menjadi manusia moden.

Daripada Barat mereka belajar ilmu sains. Kemudian, mereka mengolah semula ilmu ini untuk keperluan hidup mereka. Contohnya, daripada sains haba dan logam, asas, Jepun mencipta periuk nasi automatik.

Mereka menyesuaikan ilmu daripada barat bagi memperbaiki kehidupan masyarakat Jepun. Bangsa Asia lain yang memakan nasi ramai, seperti India, Bangladesh, Pakistan, dan Sri Lanka.

Tetapi, oleh sebab mereka menerima pendidikan dalam bahasa asing, minda mereka tidak asli, dan kreativiti mereka tidak timbul walaupun negara-negara ini mempunyai banyak ilmuwan.

Minda Jepun masih asli. Dengan ilmu yang dipelajari dari Barat, mereka mengolah semuanya untuk menyelesaiakn masalah kehidupan mereka.

Jepun belajar teknologi Barat yang menggunakan traktor untuk membajak ladang, mereka ungkapkan semula teknologi itu menjadi traktor kubota untuk keperluan sawahnya.

Mereka belajar tentang enjin penjana elektrik yang mampu mengeluarkan berjuta megawat tenaga, mereka ungkapkan semula teknologi itu menjadi penjana elektrik bimbit yang dapat dibawa ke mana-mana. Dan banyak lagi.

Mereka mendapat kekayaan daripada ciptaan mereka. Barangan yang dicipta oleh Jepun itu tidak pun menggunakan ilmu dan teknologi tinggi seperti pengetahuan sains untuk mencipta periuk nasi automatik.

Tetapi, hasilnya mendatangkan kekayaan kepada negaranya. Mereka meminjam dan membeli teknologi Barat, kemudian diungkapkan semula menjadi teknologi Jepun.

Mereka belajar ilmu dengan bebas, tidak mengikut kerangka minda bahasa asing. Dengan itu mereka mengekalkan keaslian dan kreativiti mindanya.

Thailand juga menyampaikan pendidikannya dalam bahasa kebangsaan, dan minda orang Thai kekal asli dan kreatif. Begitu juga Indonesia, Korea, Cina, Taiwan, dan Hong Kong. Malah seluruh rantau Asia-Pasifik mengalami
perkembangan ekonomi pesat.

Inilah juga kawasan yang menggunakan bahasa kebangsaan dalam pendidikan. Negara-negara yang menggunakan bahasa asing untuk menyampaikan pendidikan tidak dapat menyaingi kepesatan perkembangan ekonomi bangsa-bangsa yang mindanya asli. Minda mereka lebih kreatif untuk menjana idea bagi menyelesaikan masalah mereka sendiri.

Korelasi antara pendidikan yang disampaikan melalui bahasa kebangsaan sendiri dengan kejayaan ekonomi adalah suatu bukti yang nyata. Ia adalah hubungan sebab akibat. Pendidikan yang disampaikan melalui bahasa kebangsaan sendiri telah dapat membina Rakyat yang berpendidikan.

Rakyat yang berpendidikan ini mengembangkan ekonomi negara. Bukti ini sudah cukup. Inilah dasar bahasa yang akan dapat menentukan survival kita dalam abad ke-21.

Kita masih perlu mengimport ilmu ke dalam bahasa Melayu, sama seperti yang dilakukan oleh Jepun. Tugas ini perlu kita beri perhatian bersama. Gabungan tenaga dan usaha akan memperbanyak produktiviti dan mempercepat penyebaran ilmu. – *HARAKAHDAILY 30/11/2015*

Selasa, 30 September 2014


Kesan kesalahan sebutan wartawan klip video ini.

Rabu, 30 Mei 2012

Jawapan Latihan Membetulkan Ayat


Jawapan Latihan 1

1.      Perkara/Hal yang membimbangkan rakyat Malaysia kini ialah isu pembuangan bayi yang semakin berleluasa. Remaja kini/zaman ini semakin berani dan tidak menghiraukan soal agama sama ada perbuatan tersebut baik atau tidak baik.

2.      Bahasa Melayu ialah/merupakan bahasa yang mudah difahami. Pekerja asing terutama pekerja dari Bangladesh amat  mudah berbahasa Melayu apabila mereka sudah lama tinggal/menetap di Malaysia. Hal inilah antara faktor yang menyebabkan mereka menguasai bahasa Melayu dengan cepat.

3.      Kemudahan asrama memberikan kesan positif yang banyak kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan utama kerana mereka yang tinggal di asrama dapat mengulang kaji pelajaran di bawah pengawasan / bimbingan guru.

4.      Jaguh badminton dari negara China, Lin Dan bersedia mendominasi saingan Siri Super Terbuka Singapura pada minggu ini bagi mengintai peluang untuk memenangi kejuaraan yang belum pernah dimenanginya.

5.      Sebagai isteri, dia perlulah lebih banyak memahami kerjaya suaminya sebagai chef yang banyak menghabiskan masa di tempat kerja. Keadaan ini menyebabkan  chef mempunyai masa yang terhad bersama keluarga.

6.      Kesedaran mengamalkan pemakanan yang sihat memang telah ada tetapi belum memuaskan. Kebanyakan individu hanya mula menjaga atau mengubahkan tabiat  pemakanan apabila mereka telah mula mengidap penyakit walaupun ramai mengetahui bahawa mencegah ialah ubat / tindakan yang paling baik.

7.      Untuk mempertahankan kemerdekaan negara, semua kaum perlulah saling memahami dan menghormati antara satu sama lain untuk mengelakkan berlakunya salah faham. Selain itu,
perkara yang sepatutnya dilakukan oleh setiap warganegara Malaysia ialah mereka harus berusaha bersama-sama demi kemajuan negara agar setanding dengan negara-negara maju yang lain.

8.      Kita seharusnya menghormati golongan warga emas kerana golongan ini yang terlebih dahulu melalui segala permasalahan / kesulitan  daripada kita dan mereka mempunyai pelbagai pengalaman suka dan duka. Kita haruslah mengambil contoh daripada perjalanan hidup mereka pada masa lampau sebagai panduan dalam kehidupan kini.

9.      Perkara yang disenaraikan yang berikut  ialah hak-hak kepenggunaan dengan  mewujudkan pembangunan yang  berorientasikan keperluan asas manusia. Ekoran itu, para pengguna hendaklah merujuk senarai tersebut dalam usaha mempraktikkan tanggungjawab mereka sebagai pengguna.

10.  Bidang hiburan kini telah banyak mengakibatkan gejala berlaku di negara ini seperti masalah sosial remaja, rompakan dan samun dan jenayah-jenayah yang lain lagi. Hal ini demikian kerana media banyak membawa masuk pelbagai unsur hiburan dari luar negara. Para penganjur juga tidak menghiraukan keburukan / kesan  yang akan berlaku kerana mereka hanya mementingkan keuntungan semata-mata.

Jawapan Latihan 2

1.      Hubungan yang erat antara jiran dalam masyarakat merupakan ciri masyarakat yang berkualiti. Semangat kejiranan dapat memainkan peranan yang amat penting dalam usaha menjadikan kehidupan setempat bertambah aman dan harmoni.

2.      Masalah sosial seperti perlakuan sumbang, penderaan kanak-kanak dan kes-kes jenayah yang lain  dapat dibendung jika jiran memainkan peranan dan mengambil inisiatif melaporkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa.

3.      Antara punca yang menyebabkan masalah lumba haram semakin berleluasa adalah kerana sikap sesetengah ibu bapa yang terlalu mengutamakan kerjaya dan mengabaikan tanggungjawab mereka untuk mendidik anak-anak.

4.      Selain itu, pengaruh rakan sebaya juga memainkan peranan yang penting. Oleh sebab anak-anak berasa tertekan di rumah, mereka akan lebih banyak bergaul dengan rakan-rakan di luar rumah dan hal ini akan menyebabkan mereka lebih banyak mempercayai rakan sebaya berbanding ibu bapa mereka sendiri.

5.      Menyedari kepentingan sains dan teknologi pada masa ini, pihak kerajaan telah memberikan pelbagai sokongan dan galakan supaya bidang sains diminati dan dipelajari oleh semua lapisan masyarakat, terutama golongan remaja. Pelbagai penyelidikan bagi merangkakan dan menghasilkan teknologi baharu boleh dilakukan melalui kemahiran sains yang dimiliki oleh golongan remaja, khususnya pelajar.

6.      Pihak berwajib perlu membantu dan memperbanyak pasukan petugas bagi mengawal pencemaran kawasan ikan air tawar, memperketat undang-undang dan meningkatkan denda kepada pihak yang melakukan pencemaran dengan sewenang-wenangnya.

7.      Masalah disiplin dalam kalangan pelajar dikatakan berpunca pada tekanan yang dihadapi oleh para pelajar semasa di sekolah. Sikap guru yang gemar menghukum pelajar atau memberikan kerja sekolah yang banyak tambah membebankan mereka. Pengajaran guru yang membosankan turut menambahkan lagi tekanan dan hal ini mendorong pelajar melakukan sesuatu yang bertentangan dengan peraturan sekolah.

8.      Sikap nafsi-nafsi atau individualistik ini lebih ketara dalam kalangan masyarakat di bandar jika dibandingkan dengan masyarakat di desa. Sikap keakuan yang diamalkan oleh masyarakat kini berlandaskan / bergantung pada faktor atau kehendak semasa.

9.        Keruntuhan moral dalam kalangan remaja berlaku oleh sebab kecuaian para ibu bapa dalam usaha mendidik anak-anak mereka. Ibu bapa zaman sekarang lebih banyak memfokuskan pencarian harta kekayaan semata-mata daripada menumpukan perhatian kepada anak-anak. Didikan agama semakin terabai,  sebaliknya para ibu bapa lebih berbangga sekiranya anak-anak mereka mahir dalam bidang muzik ataupun mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan.

10.  Sikap majikan yang terlalu mementingkan keuntungan tanpa mengambil kira kebajikan pekerja merupakan faktor utama berlakunya kemalangan di tempat kerja. Kebanyakan majikan mengingini sesuatu projek itu dapat segera disiapkan tanpa mempedulikan keselamatan peralatan yang digunakan oleh pekerja mereka.

Jawapan Latihan 3

1.      Banyak faktor yang mempengaruhi remaja menggunakan bahasa yang kurang sopan dalam pertuturan seharian. Faktor emosi, cara didikan keluarga dan suasana persekitaran juga menjadi penentu bermulanya perlakuan ini. Selain itu, pengaruh rakan sebaya juga menjadi penyumbang terhadap masalah ini.

2.      Timbalan Perdana Menteri menjelaskan bahawa sikap buruk sesetengah rakyat yang tidak sayang akan negara ini terbukti apabila mereka lebih banyak memperkatakan keburukan pemimpin Malaysia daripada membincangkan hal pembangunan dan kemakmuran negara pada masa ini.

3.      Penggunaan bahasa Mandarin (Cina) dalam dunia teknologi maklumat kini semakin meluas apabila terdapat semakin ramai orang yang menggunakan bahasa ini untuk melayari internet selain penggunaan bahasa Inggeris.

4.      Sejak kebelakangan ini, masalah sosial sering terjadi seperti yang dilaporkan oleh akhbar-akhbar tempatan setiap hari. Antara punca yang menyebabkan berlakunya masalah tersebut adalah seperti pengaruh rakan sebaya dan ibu bapa yang tidak bertanggungjawab dalam menjalankan / memainkan peranannya.

5.      Pihak Berkuasa Tempatan memang bertanggungjawab menyediakan kemudahan awam yang banyak tetapi tanggungjawab menjaga harta awam tersebut terletak kepada semua pihak dan orang ramai perlu diberikan kesedaran akan tanggungjawab ini.

6.      Antara faktor yang menyebabkan perkara ini berlaku adalah kerana sistem pendidikan yang banyak menekankan aspek peperiksaan dan hal ini dapat dilihat dengan jelas apabila pelajar hanya belajar untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang.

7.      Pada zaman ini, adalah sangat sukar kepada seseorang untuk merahsiakan sesuatu      maklumat. Perkara yang diklasifikasikan sulit dan rahsia boleh menjadi pengetahuan umum dan mudah sekali tersebar ke seluruh pelosok dunia, hanya dalam ( dengan ) sekelip mata / dalam ( dengan ) sekelip mata sahaja.

8.      Wawasan dan perancangan pembangunan yang tepat dan teratur akan menyebabkan kejayaan pesat dalam ekonomi negara dengan adanya kepemimpinan yang baik dan juga rakyat yang sering memberikan kerjasama.\

9.      Orang sering mempersoalkan persoalan sama ada kita hidup untuk makan atau makan untuk hidup?  Namun, ia terpulang kepada individu itu sendiri untuk membuat penilaian yang menjadi pegangannya. Walau bagaimanapun, jika makan yang menjadi pilihannya, sudah pasti individu tersebut ada pandangan dan perspektifnya sendiri dalam mendefinisikan makna sedap atau tidak pada sesuatu jenis makanan itu.

10.  Anak yang aktif dan bijak ialah impian semua ibu bapa. Melihat anak-anak  membesar secara sihat merupakan kepuasan yang tidak ternilai. Bagi merealisasikannya, perkara utama dan paling penting dilakukan ialah memastikan anak anda mendapat makanan yang berkhasiat. Hidangan yang sihat merupakan  antara elemen penting dalam usaha membantu perkembangan otak anak anda.


Jawapan Latihan 4

1.      Selain tanah runtuh yang mengakibatkan kemusnahan sistem saliran semula jadi, masalah lain yang turut kita bimbangi ialah masalah banjir kilat.

2.      Oleh sebab pemikiran kita masih lagi dijajah maka kita beranggapan apa-apa sahaja yang datang dari Barat itulah yang terbaik. Pandangan ini bertambah kukuh apabila rempuhan gelombang globalisasi menerjah pemikiran kita, tidak kira generasi tua mahupun generasi muda.

3.      Pemimpin sekolah merupakan individu  yang bijak mentafsirkan dan memahami tugasan yang diberi, cemerlang dan komited terhadap kerjaya di samping berupaya meningkatkan ilmu pengetahuan agar dapat menterjemahkan dasar pendidikan negara dalam tugasan harian. Hal ini diyakini mampu memberikan didikan terbaik kepada murid.

4.      Penguasaan ilmu dan kemahiran dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi merupakan salah satu / satu daripada aspek kemahiran guru pada abad ke-21. Kemampuan pihak guru mengintegrasikan kurikulum dalam proses pembelajaran merupakan satu nilai tambah untuk dilaksanakan dan mampu membuka minda pelajar untuk mereka berfikir di luar kotak seperti yang dihasratkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.

5.      Walau bagaimanapun, kerajaan juga tidak harus terlepas pandang daripada menjadikan negara kita ini sebagai negara pengeluar barangan makanan, tidak kiralah sama ada ia berasaskan pertanian atau pembuatan dalam skala yang besar dan hal ini  sekali gus dapat mencari penyelesaian terhadap kekurangan bekalan makanan di dalam negara dan sikap kebergantungan pada barangan makanan yang diimport.

6.      Bagi mengekalkan kecergasan dan kesihatan diri pada bulan puasa, anda harus mengelakkan minum minuman yang mempunyai kafein dan air berkarbonat kerana minuman ini boleh mengakibatkan anda cepat berasa dahaga dan lebih kerap membuang air.

7.      Nilai-nilai murni seolah-olah terhakis dalam diri setiap anggota masyarakat dan hal ini berlaku sebagai akibat penggunaan bahasa yang semakin tercemar / tergugat oleh sebab masuknya pengaruh budaya luar yang negatif.

8.      Apabila melihat ketelitian dan cara bekerja seseorang chef, pasti ramai yang tertanya-tanya perkara yang membezakan seseorang chef dengan chef yang lain. Hal ini demikian kerana sudah terlalu banyak program televisyen termasuklah program realiti yang berkaitan dengan kehebatan golongan ini yang digelar sebagai antara chef terbaik dunia.

9.      Perut buncit lazimnya berlaku sebagai akibat makan terlalu banyak serta pengumpulan toksin yang berlebihan di dalam tubuh. Toksin terdapat dalam setiap makanan yang anda makan dan produk yang anda gunakan. Bahan beracun yang banyak berkumpul pada setiap hari akan membebani tubuh sehingga menjejaskan keupayaannya bagi memproseskan dan mengumuhkan toksin dengan sempurna.

10.  Kini peluang pekerjaan memanglah ada tetapi jumlahnya amat terhad berbanding jumlah permintaan ribuan siswazah yang ada dalam pasaran tenaga kerja. Senario inilah yang dihadapi oleh para siswazah kini sehingga menyebabkan golongan ini terguris hati apabila digelar sebagai penganggur terhormat.