Halaman

Selasa, 27 Mac 2018

Membina Tamadun dengan Bahasa Melayu


Bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan negara seperti yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Malaysia. Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan melambangkan jati diri bangsa dan alat untuk menyatupadukan bangsa Malaysia yang berbilang kaum. Bahasa Melayu turut menjadi satu unsur budaya yang dikongsi untuk berkomunikasi oleh rakyat Malaysia.

Walau bagaimanapun, selepas 59 tahun negara mencapai kemerdekaan, masih ada rakyat Malaysia yang tidak fasih berbahasa Melayu. Keadaan ini amat membimbangkan kerana roh bahasa Melayu belum menyerap sepenuhnya dalam sanubari warga Malaysia. Tambahan pula, slogan “Bahasa Jiwa Bangsa” kurang dihayati dalam kalangan masyarakat di negara ini terutama golongan muda. Keadaan ini secara perlahan-lahan mampu mengikis keistimewaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Malahan, keistimewaan bahasa Melayu seolah-olah hanya wujud di atas kertas sahaja.

Sejarah dan dasar sesebuah negara banyak mempengaruhi perkembangan bahasa. Sebagai akibat sejarah migrasi dan juga dasar yang direncanakan, terdapat beberapa negara yang menggunakan lebih daripada satu bahasa iaitu sama ada secara bilingual ataupun multilingual kerana menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, manakala bahasa Inggeris pula sebagai bahasa utama seperti yang berlaku di Singapura. Implikasi daripada penguasaan satu atau lebih bahasa mungkin berbeza-beza bergantung pada saiz dan kekuatan sesebuah negara.

Negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) pula merupakan sebuah negara ekabahasa atau mengetahui atau boleh bertutur dalam satu bahasa sahaja, namun hal berkenaan bukanlah merupakan isu besar. Hal ini dikatakan demikian kerana sekalipun monolingual, AS merupakan antara negara terkaya dan terkuat di dunia. Pada masa yang sama, tidak dinafikan penguasaan bahasa Inggeris telah menjadi alat pertuturan yang berkembang ke seluruh dunia.

Setiap negara menggunakan bahasa sendiri dalam pembinaan tamadun. Bahasa ibunda sentiasa diutamakan berbanding bahasa lain dalam urusan seharian. Sebagai contoh, negara Perancis dan Jerman menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua tetapi tidak menggunakannya secara meluas melainkan semasa berinteraksi dengan pelancong dari luar atau dengan orang yang hanya tahu berbahasa Inggeris. Perlu diingatkan bahawa setiap negara maju seperti Jerman, Perancis, dan Itali memanfaatkan penggunaan bahasa ibunda dengan sebaik-baiknya sehingga muncul antara kuasa besar yang disegani.

Hakisan secara beransur-ansur terhadap penerimaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi turut dikaitkan dengan penggunaan bahasa Melayu dalam filem dan lagu apabila isu bahasa menjadi perdebatan hangat di Festival Filem Malaysia Ke-28 (FFM28) baru ini. Filem Ola Bola dicalonkan bagi kategori “Filem Terbaik Bukan Bahasa Melayu” mengundang kekecohan sebilangan penggiat filem tempatan. Situasi ini tidak sepatutnya berlaku dalam usaha untuk mendaulatkan bahasa kebangsaan ke arah membina bangsa Malaysia yang maju. Tidak seperti penggiat seni di China, mereka sentiasa mendaulatkan bahasa Mandarin dan budaya mereka dalam filem seperti Kung Fu Hustle, Shaolin Soccer dan sebagainya. Walaupun mereka terdiri daripada pelbagai etnik dan kaum, namun mereka giat berusaha untuk menonjolkan bahasa mereka pada mata dunia. Oleh hal yang demikian, masalah ini perlu ditangani dengan kemampuan semua pihak dalam usaha untuk mengintelektualkan masyarakat di samping mendaulatkan penggunaan bahasa rasmi di negara ini. Anjakan paradigma perlu dilakukan dengan lebih inovatif demi mengangkatkan nilai bahasa kebangsaan.

Di negara Itali, masyarakat di sana mengagungkan bahasa Itali dalam semua bidang sehinggakan pelancong luar yang ingin memasuki negara tersebut perlu belajar asas bahasa Itali kerana negara itu menggunakan satu bahasa sahaja. Bagi negara Jepun pula, teknologi yang direka cipta dalam banyak jenama ciptaan dinamakan dengan bahasa negara sendiri seperti Panasonic, National, Suzuki dan Kawasaki. Begitu juga dengan negara Korea yang setanding dengan negara antarabangsa lain dalam bidang teknologi telekomunikasi. Sebagai contoh, jenama Samsung sentiasa melakukan penambahbaikan pengeluaran telefon pintar seperti Iphone, Sony, HTC, LG, dan Blackberry.

Situasi lain turut berlaku apabila acara melibatkan majlis penganugerahan yang berlangsung di negara kita. Semasa Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-19 yang lalu, sebilangan pemenang memberikan ucapan yang diselangi dengan perkataan Inggeris. Ucapan terima kasih yang lembut dan sopan ditukar dengan ucapan thank you. Perkataan ”terima kasih” turut kurang mendapat tempat dalam kalangan pengacara tertentu dan penggiat seni berbangsa Melayu. Oleh hal yang demikian, langkah pengayaan bahasa perlu dilakukan dari semasa ke semasa melalui penggunaan bahasa yang betul untuk menjaminkan pengukuhan bahasa itu sendiri dalam segenap aspek.

Dunia yang kian mencabar telah merobek jati diri serta penguasaan bahasa Melayu yang baik dan betul dalam kalangan masyarakat. Masyarakat terlalu mudah menyerap unsur luar seperti penggunaan bahasa atau budaya lain yang menyimpang daripada identiti negara. Menyedari hakikat tersebut, masyarakat tidak perlu mengagungkan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama pertuturan kerana penduduk di Jepun, Korea, Jerman dan Itali membuktikan bahawa mereka mampu mengembangkan teknologi masing-masing dengan mengutamakan bahasa ibunda.

Dipetik dan diubah suai daripada: Rencana Siti Nur Hidayah Othman Bakar, Pelita Bahasa, Oktober 2016.

Selasa, 13 Mac 2018

"Belakangan" atau "Kebelakangan"?

Penggunaan imbuhan ialah kaedah yang sangat produktif dalam penerbitan golongan kata baharu, khususnya golongan kata nama dan kata kerja. Dalam penerbitan kata nama, imbuhan akhiran +an dan apitan ke+_+an adalah antara yang sangat produktif. Antara kata nama yang lumrah penggunaannya yang dijana melalui proses morfologi ini  adalah “belakangan” dan “kebelakangan”. Lazimnya juga, dua kata nama ini digunakan secara bertukar ganti, menunjukkan kesalahfahaman umum bahawa kedua-duanya sama dari segi subkategori dan fungsi.

Pengguna umumnya menggunakan kata “belakangan” dan “kebelakangan” untuk maksud masa lalu. Yang menjadi persoalan ialah adakah benar anggapan bahawa kedua-duanya sama dan boleh digunakan bertukar ganti?

Dilihat pada binaannya sahaja dapat diagak bahawa kedua-duanya tidak sama dan tidak boleh ditukar ganti penggunaannya. Hal ini samalah dengan penggunaan pasangan perkataan lain yang sepadan dengannya seperti “masukan” dan “kemasukan”; “jatuhan” dan “kejatuhan”; “bersamaan” dan “kebersamaan” yang tidak boleh ditukar ganti.

Soalan seterusnya yang patut ditanyakan adalah tentang bentuk yang gramatis untuk maksud masa lalu –  “belakangan” atau “kebelakangan”?

Untuk meleraikan persoalan ini, terlebih dahulu perlu dipastikan kewujudan perkataan berkenaan (“belakangan” dan “kebelakangan”). Hal ini dapat dilakukan dengan menganalisis proses penerbitannya.

Imbuhan +an dapat menerbitkan kata nama daripada kata kerja (KK), kata nama (KN) dan juga kata arah.

Jadual (a): Contoh kata nama berimbuhan +an yang diterbitkan daripada KK, KN dan kata arah
Diterbitkan daripada KK
Diterbitkan daripada KN
Diterbitkan daripada kata arah
bacaan  (baca+an)
cerminan   (cermin+an)
atasan      (atas+an)
catatan (catat+an)
bayangan  (bayang+an)
bawahan (bawah+an)
kiraan   (kira+an)
rambutan  (rambut+an)
luaran      (luar+an)
ukuran (ukur+an)
durian        (duri+an)
dalaman  (dalam+an)

Untuk memastikan sama ada kata “belakang” dapat menerima imbuhan +an, perlu dipastikan dahulu kategori perkataan tersebut. “Belakang” dapat dimasukkan dalam dua kategori perkataan iaitu KN dan juga kata arah. Contoh “belakang” yang merupakan KN ialah “belakang unta” (bahagian tubuh), “belakang Ahmad” (bahagian tubuh) dan “belakang kereta” (ruang isi barang). Contoh “belakang” yang merupakan kata arah ialah “belakang rumah”, “belakang pokok” dan “belakang kebun”.

Oleh sebab KN berimbuhan +an dapat diterbitkan daripada kedua-dua kategori kata ini (KN dan kata arah), kata nama terbitan “belakangan” wujud dalam dua bentuk, iaitu;
(1)  “belakangan” yang diterbitkan daripada “belakang” sebagai KN,
(2)  “belakangan” yang diterbitkan “belakang” sebagai kata arah.

Seterusnya adalah tentang imbuhan ke+_+an. Imbuhan tersebut dapat menerbitkan kata nama daripada KK, KN dan kata adjektif (KA).

Jadual (b): Contoh kata nama berimbuhan ke+_+an yang diterbitkan daripada KK, KN dan KA
Diterbitkan daripada KK
Diterbitkan daripada KN
Diterbitkan daripada KA
kebersamaan (ke+bersama+an)
kedaerahan (ke+daerah+an)
kesantunan     (ke+santun+an)
kenaikan     (ke+naik+an)
kemelayuan (ke+melayu+an)
keayuan          (ke+ayu+an)
kejatuhan  (ke+jatuh+an)
keanak-anakan (ke+anak-anak+an)
kehijauan     (ke+hijau+an)
kelihatan   (ke+lihat+an)
keembunan       (ke+embun+an)
keikhlasan  (ke+ikhlas+an)
kemasukan (ke+masuk+an)
Kenyamukan (ke+nyamuk+an)
kedalaman (ke+dalam+an)

Oleh sebab “belakang” termasuk dalam kategori KN, kata “kebelakangan” dapat diterbitkan daripadanya. Dengan kata lain, “kebelakangan” yang diterbitkan daripada “belakang” sebagai KN memang wujud. Walau bagaimanapun, imbuhan ke+_+an tidak dapat menerbitkan KN daripada “belakang” sebagai kata arah. Oleh itu, “kebelakangan” yang diterbitkan daripada “belakang” sebagai kata arah tidak wujud. Hal ini samalah dengan tidak wujudnya KN berimbuhan ke+_+an yang diterbitkan daripada kata arah yang lain. Contoh perkataan berimbuhan ke+_+an yang tidak gramatis (kerana diterbitkan daripada kata arah) ialah “keatasan” (ke+atas+an), “kebawahan” (ke+bawah+an), “ketepian” (ke+tepi+an), “keluaran” (ke+luar+an) dan “kedalaman” (ke+dalam+an).

Perlu dijelaskan bahawa kata “keluaran” dan “kedalaman” wujud tetapi proses penjanaannya adalah berbeza. “Keluaran” diterbitkan melalui proses pengimbuhan +an pada KK “keluar” (“keluar+an” bukan “ke+luar+an”) manakala “kedalaman” diterbitkan daripada “dalam” sebagai kata adjektif (bukan dalam sebagai kata arah).

Berdasarkan analisis morfologi ini, dapat diandaikan kewujudan KN “belakangan” dan “kebelakangan”. Kata “belakangan” mempunyai dua jenis iaitu yang diterbitkan daripada “belakang” sebagai KN dan yang diterbitkan daripada “belakang” sebagai kata arah. “Kebelakangan” pula ada sejenis sahaja iaitu yang diterbitkan daripada “belakang” sebagai KN.

Langkah seterusnya ialah menganalisis penggunaan kata “belakangan” dan “kebelakangan” dalam binaan ayat. Hal ini dapat dilakukan dengan meninjau aspek semantik iaitu maksud yang didokong oleh perkataan berkenaan.

Imbuhan +an pada perkataan yang diterbitkan daripada KN mempunyai dua fungsi dari segi semantik, iaitu;

(3)  mendokong maksud yang abstrak daripada maksud kata asalnya,
(4)  mendokong maksud yang berbeza daripada maksud kata asalnya.

“Cerminan” dan “bayangan” mempunyai maksud yang abstrak manakala perkataan asalnya iaitu “cermin” dan “bayang” mempunyai maksud yang konkrit. Perbezaan ini dapat dilihat daripada ayat (5-8) yang berikut:


Maksud konkrit

Maksud abstrak
(5)
Dia berdiri di hadapan cermin untuk mengemaskan pakaiannya.
(7)
Pemuda hari ini adalah cerminannegara pada masa hadapan.
(6)
Bayang terhasil apabila objek legap menghalang cahaya daripada menembusinya.
(8)
Bayangan kejayaannya telah dapat dilihat sejak beliau di bangku sekolah lagi.

“Rambutan” dan “durian” pula mempunyai maksud yang lain daripada perkataan asalnya (“rambut” dan “duri”) tetapi kedua-duanya mempunyai maksud yang konkrit (bukan abstrak). Hal ini dapat dilihat daripada ayat (9-12) yang berikut:


Maksud konkrit (benda)

Maksud konkrit (buah)
(9)
Rambut ialah mahkota bagi wanita.
(11)
Rambutan adalah antara buah tempatan.
(10)
Duri ialah objek keras pendek yang tajam hujungnya.
(12)
Durian ialah raja buah-buahan.

Dari aspek perubahan semantik ini, “belakangan” tidak dapat diandaikan sebagai perkataan yang diterbitkan daripada KN.  Hal ini demikian kerana perkataan itu tidak dapat mendokong salah satu atau kedua-dua maksud yang telah dinyatakan. Dengan alasan ini dapatlah dikatakan bahawa, dari aspek semantik, tidak wujud perkataan “belakangan” yang diterbitkan daripada “belakang” sebagai KN.

Seterusnya, penggunaan “belakangan” yang diterbitkan daripada “belakang” sebagai kata arah perlu diandaikan sama dengan penggunaan perkataan yang diterbitkan dengan cara yang sama. Contohnya ialah “atasan” dan “bawahan”. Penggunaan dua kata nama ini sangat terhad iaitu sebagai penerang dalam pembentukan frasa nama. Contohnya ialah iaitu orang/pihak atasan dan orang/pihak bawahan. 

Oleh itu, jika “belakangan” hendak digunakan selari dengan kaedah penggunaan ini, antara bentuk yang dapat diandaikan ialah “orang belakangan”.

Siapakah “orang belakangan” ini? Yang sering disebut ialah “Di belakang kejayaan seorang lelaki (suami) ialah seorang wanita (isteri)”.  Oleh itu, frasa “orang belakangan” ini dapatlah diertikan sebagai pendorong, pendokong atau penyokong. Dicadangkan penggunaannya dalam ayat adalah seperti (13) yang berikut:

(13)  Puan Sarah ialah orang belakangan kejayaan perniagaan suaminya.

Seterusnya, KN yang diterbitkan melalui proses pengimbuhan ke+_+an pada KN sebagai kata dasarnya mempuyai dua maksud. Yang pertama mendokong maksud mempunyai sifat atau ciri yang sama atau hampir sama dengan kata asalnya. Contohnya ialah “kedaerahan”, “kemelayuan” dan “keanak-anakan” dalam ayat (14-16) yang berikut:

(14)  Kita janganlah bersikap kedaerahan.
(15)  Sifat kemelayuan Mat Dan lebih terserlah daripada orang Melayu sendiri.
(16)  Anak bongsu biasanya bersifat keanak-anakan.

Yang kedua ialah KN yang mempunyai maksud pasif. Hal ini dapat dilihat daripada perkataan “keembunan”, “ketulangan” dan “kenyamukan” seperti dalam ayat (17-19) yang berikut:

(17)  Mereka keembunan kerana terpaksa pulang lewat dinihari.
(18)  Budak kecil itu ketulangan kerana makan terlalu gelojoh.
(19)  Peserta-peserta program perkhemahan itu kenyamukan.

Ayat-ayat ini mempunyai pengertian pasif seperti yang terlihat dalam ayat berpola FN+FK (20-22) yang menjadi padanannya.

(20)  Mereka terkena embun kerana terpaksa pulang pada lewat dinihari.
(21)  Budak kecil itu tercekik tulang kerana makan terlalu gelojoh.
(22)  Peserta-peserta program perkhemahan itu digigit nyamuk.

Frasa kerja “terkena embun” (20), “tercekik tulang” (21) dan “digigit nyamuk” (22) ialah padanan pasif bagi “keembunan” (17), “ketulangan” (18) dan “kenyamukan” (19).
Berdasarkan huraian ini, dapatlah diandaikan bahawa “kebelakangan” dapat digunakan untuk maksud pasif seperti dalam ayat (23) yang berikut:

(23)  Kita akan kebelakangan jika tidak merancang masa hadapan.

Yang dapat dipadankan dengan ayat pasif berpola FN+FK (24) yang berikut:
(24)  Kita akan tertinggal jika tidak merancang masa hadapan.

Setelah memahami proses morfologi yang mewujudkan kata “belakangan” dan “kebelakangan” serta aspek semantiknya, bolehlah kita meninjau bentuknya yang gramatis dalam binaan ayat yang menunjukkan maksud masa lalu.

Jika masa lalu dapat diandaikan sebagai arah yang bersifat abstrak (dibandingkan dengan arah lokasi yang bersifat konkrit), bentuk yang gramatis ialah “belakangan”, bukan “kebelakangan”. Hal ini demikian kerana daripada kedua-dua bentuk itu, hanya “belakangan” yang dapat diterbitkan daripada “belakang” sebagai kata arah. Oleh itu, dapat diandaikan bahawa penggunaan “belakangan” untuk menunjukkan masa lalu adalah gramatis manakala penggunaan “kebelakangan” adalah sebaliknya.

Soalan seterusnya ialah sama ada “belakangan” digunakan tanpa kata sendi nama atau ia boleh digandingkan dengan kata sendi nama “sejak” dan “ke” seperti kelaziman?

Untuk menjawab soalan ini, perlu dilihat cara penggunaan dua kata sendi tersebut. “Sejak” ialah kata sendi nama untuk menunjukkan masa. Oleh sebab kata “belakangan” memang menunjukkan masa, “sejak” dapat dimasukkan sebelum kata “belakangan”.

(25) Pencapaian akademiknya meningkat sejak belakangan ini.

Hal ini samalah dengan gramatisnya penyisipan kata “sejak” sebelum frasa “minggu lalu” dalam ayat (26) yang berikut.

(26) Pencapaian akademiknya meningkat sejak semester lalu.

Seterusnya, kata sendi “ke” juga dapat digunakan untuk menunjukkan masa. Contohnya ialah penggunaan “ke” sebelum frasa “abad ke-16” dalam ayat (27) yang berikut:

(27) Filem fiksyen sejarah itu membawa penonton ke abad ke-16 iaitu semasa Portugis menyerang  Melaka.

Oleh itu, frasa “ke belakangan” dalam ayat (28) yang berikut juga dapat dianggap gramatis.

(28) Pencapaian akademiknya meningkat ke belakangan ini.

Bagaimana pula penggunaan “belakangan” tanpa kata sendi nama? Dalam sesetengah kes, penggunaan kata sendi nama untuk menunjukkan masa bersifat pilihan (tidak wajib). Oleh itu, ayat 

(29) yang berikut juga dapat dianggap gramatis.
(29) Pencapaian akademiknya meningkat belakangan ini.

Hal ini samalah dengan gramatisnya dua ayat (30-31) yang berikut:

(30) Kuliah mereka bermula sejak minggu lalu.
(31) Kuliah mereka bermula minggu lalu.

Berdasarkan huraian dari aspek morfologi (binaan perkataan), semantik (makna) dan sintaksis (binaan ayat) ini, dapat diandaikan dengan berpada bahawa penggunaan kata “kebelakangan” dan frasa “sejak kebelakangan” untuk menunjukkan masa adalah tidak gramatis. Bentuk yang gramatis ialah “sejak belakangan”, “ke belakangan” dan “belakangan”.

Isnin, 11 Disember 2017

Contoh terjemahan



Penglibatan dengan pelajar-pelajar dan guru-guru Bahasa Inggeris di sebuah universiti antarabangsa pada masa ini mengukuhkan lagi pandangan saya bahawa penggunaan berterusan bahasa itu – mana-mana bahasa, adalah penting untuk mengukuhkan kefasihan seseorang. Pengukuhan berterusan menerusi pembacaan dan pendengaran, pengucapan dan penulisan ialah kunci untuk meningkatkan tahap kefasihan seseorang. Malah, pada peringkat tertinggi kompetensi, penggunaan berterusan bahasa tersebut akan meningkatkan sumber komunikasi seseorang menerusi kekayaan perbendaharaan kata dan kemahiran mengemukakan pendapat dan wacana. 

Apabila ditanya bagaimana tugas menulis dan bertutur dapat diuruskan dengan cara paling baik, jawapan lumrah yang selalu saya berikan ialah “persediaan dan latihan”. Kenyataan tiada yang dapat diperoleh dengan mudah ialah pengajaran yang saya peroleh setelah bertahun-tahun sebagai pelajar dan guru Bahasa Inggeris di dalam bilik darjah, dan sekarang sebagai penulis dan penceramah di majlis-majlis wacana pada tahap yang lebih formal. Ya – tiada tugas yang terlalu biasa sehingga tidak memerlukan perhatian yang paling rapi pada perinciannya, dan dalam hal ini, latihan kendiri dan berterusan akan meningkatkan tahap kemahiran bahasa dan komunikasi seseorang. 

Bagi pelajar-pelajar di dalam bilik darjah, penggunaan latih tubi masih merupakan cara terbaik untuk mempertajam kemahiran mendengar dan bertutur, latihan berterusan memadankan gandingan frasa, ayat dan perenggan ialah cara terbaik untuk mengukuhkan kemahiran bahasa mereka. Dalam hal ini, tiada tolak ansur. Bahawa wujud hubungan wajib antara bahasa dengan komunikasi ialah hakikat. Hubungan ini, walau bagaimanapun, adalah sangat penting untuk pembangunan masyarakat sehingga kebenarannya perlu diulang-ulang dan diperkukuh dalam setiap aspek kehidupan kita. 

Bahasa adalah di pusat saraf komunikasi manusia. Tanpa kompetensi asas bahasa, kita adalah harimau tidak bertaring. Dengan penggunaan bahasa yang fasih dan cekap, kita adalah harimau gagah yang mampu melompat jauh ke hadapan. Peranan bahasa untuk komunikasi yang berkesan telah lama disedari oleh ahli-ahli dan pendidik bahasa.   

Contoh Karangan



Soalan: Kebebasan bersuara tidak wajar dijadikan kebebasan mutlak. Berikan pendapat anda.

Kebebasan bersuara ialah keadaan terjamin yang membolehkan anggota sesebuah masyarakat atau negara memberikan pandangan dan mendapatkan maklumat. Keadaan ini telah diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa sebagai salah satu hak asasi manusia. Kebebasan mutlak pula ialah keadaan bebas tanpa kawalan dan sekatan, baik melalui undang-undang mahupun budaya sesebuah masyarakat. Dalam dunia yang penyebaran maklumat tidak lagi disekat oleh mana-mana sempadan fizikal, isu kewajaran kebebasan bersuara dijadikan kebebasan mutlak sering dipolemikkan. Hakikatnya, pengharapan untuk memperoleh kebebasan bersuara secara mutlak hanyalah angan-angan yang tidak berpijak di bumi nyata.

Kebebasan bersuara sememangnya tidak wajar dijadikan kebebasan mutlak kerana ia akan mengancam keselamatan negara. Tidak ada sebuah negara pun di dunia ini yang dengan rela membenarkan maklumat keselamatan wilayahnya didedahkan dengan sewenang-wenangnya. Sebaliknya, semua negara termasuk yang mengamalkan demokrasi yang kononnya memuja kebebasan bersuara, dengan cemburu mengadakan sekatan untuk mengawal penyebaran maklumat yang dianggap mengancam kedaulatannya. Malah Amerika Syarikat, yang dianggap bapa kebebasan bersuara, mempunyai undang-undang yang melangkaui sempadannya demi memelihara kedaulatannya. Dengan undang-udang ini, ia boleh menahan sesiapa sahaja di dunia ini yang dianggap mengancam keselamatannya.

Gugatan terhadap keharmonian masyarakat juga merupakan kekangan yang tidak memungkinkan kebebasan bersuara secara mutlak diperoleh. Di negara manapun di dunia ini,masyarakatnya mempunyai set undang-undang dan budaya yang mengatur dan mengawal kehidupan mereka. Tujuannya ialah menjamin keharmonian hidup bermasyarakat. Kebebasan bersuara secara mutlak dapat menggugat keharmonian ini. Bayangkan jika maklumat yang bersifat fitnah seperti wujudnya perancangan rusuhan antara kaum dibiarkan tersebar berleluasa, pasti keadaan akan menjadi tegang dan akhirnya huru-hara boleh tercetus.

Semua pihak mempunyai kepentingan untuk mengekalkan atau merebut kuasa politik, baik pada peringkat institusi, masyarakat atau negara. Kuasa politik perlu dikekalkan atau direbut kerana salah satu sebab utamanya ialah ia merupakan akses terhadap sumber kekayaan. Pihak-pihak yang  berkepentingan akan berusaha menyebarkan propaganda untuk menunjukkan kelebihan mereka  waima maklumat yang tidak benar sekalipun. Sebaliknya, mereka akan berusaha menyembunyikan maklumat yang dapat melemahkan kedudukan mereka sekalipun maklumat itu adalah benar. Dalam keadaan ini, tidaklah mungkin kebebasaran bersuara  dijadikan kebebasan mutlak.

Menjaga kepentingan ekonomi pihak-pihak yang berkepentingan juga antara faktor yang tidak mewajarkan kebebasan bersuara dijadikan kebebasan mutlak. Contoh terbaik tentang perlunya wujud sekatan bersuara ini ialah undang-undang hak cipta atau paten. Undang-undang ini menyekat sesiapa sahaja yang mempunyai maklumat tentang sesuatu ciptaan daripada menyebarkannya kepada umum atau pihak ketiga. Undang-undang ini perlu untuk menggalakkan kreativiti dan inovasi yang amat penting untuk kemajuan sesebuah masyarakat atau negara. Bagi pihak pencipta pula, undang-undang ini dapat menjaga kepentingan mereka dari segi pulangan yang diperoleh dari inovasi tersebut.

Sesebuah negara mempunyai nilai dan norma masyarakatnya yang tersendiri yang perlu dikekalkan dan dipelihara. Langkah ini penting untuk menjamin keharmonian hidup bermasyarakat di negara berkenaan. Bayangkanlah jika ada individu atau kelompok tertentu di negara ini yang membuat desakan supaya kebenaran berbogel di khalayak ramai diberikan. Desakan ini pasti menghadapi tentangan kerana ia bercanggah dengan nilai dan norma masyarakat negara ini. Jika desakan ini dibiarkan berterusan, keharmonian hidup bermasyarakat pasti tergugat. Jelaslah bahawa memelihara nilai dan norma masyarakat sesebuah negara tidak dapat dikompromi semata-mata atas nama kebebasan bersuara secara mutlak.

Banyaknya kepentingan yang perlu dijaga oleh sesebuah masyarakat atau negara menyebabkan kebebasan bersuara tidak wajar dan tidak boleh dijadikan kebebasan mutlak. Kebebasan mutlak hanya akan mendatangkan kebinasaan. Begitu juga kebebasan bersuara yang terlalu dikongkong. Oleh itu, pilihan yang sebaik-baiknya ialah mengambil jalan tengah iaitu tidak terlalu mengongkong dan tidak pula terlalu bebas atau bebas secara mutlak. Dalam mencari jalan tengah atau sederhana ini, kebijaksanaan dan muafakat  anggota masyarakat ialah cara yang terbaik. Bukankah kebijaksanaan silam telah mengajar kita bahawa “bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.”

580 perkataan