Halaman

Selasa, 30 September 2014


Kesan kesalahan sebutan wartawan klip video ini.

Rabu, 30 Mei 2012

Jawapan Latihan Membetulkan Ayat


Jawapan Latihan 1

1.      Perkara/Hal yang membimbangkan rakyat Malaysia kini ialah isu pembuangan bayi yang semakin berleluasa. Remaja kini/zaman ini semakin berani dan tidak menghiraukan soal agama sama ada perbuatan tersebut baik atau tidak baik.

2.      Bahasa Melayu ialah/merupakan bahasa yang mudah difahami. Pekerja asing terutama pekerja dari Bangladesh amat  mudah berbahasa Melayu apabila mereka sudah lama tinggal/menetap di Malaysia. Hal inilah antara faktor yang menyebabkan mereka menguasai bahasa Melayu dengan cepat.

3.      Kemudahan asrama memberikan kesan positif yang banyak kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan utama kerana mereka yang tinggal di asrama dapat mengulang kaji pelajaran di bawah pengawasan / bimbingan guru.

4.      Jaguh badminton dari negara China, Lin Dan bersedia mendominasi saingan Siri Super Terbuka Singapura pada minggu ini bagi mengintai peluang untuk memenangi kejuaraan yang belum pernah dimenanginya.

5.      Sebagai isteri, dia perlulah lebih banyak memahami kerjaya suaminya sebagai chef yang banyak menghabiskan masa di tempat kerja. Keadaan ini menyebabkan  chef mempunyai masa yang terhad bersama keluarga.

6.      Kesedaran mengamalkan pemakanan yang sihat memang telah ada tetapi belum memuaskan. Kebanyakan individu hanya mula menjaga atau mengubahkan tabiat  pemakanan apabila mereka telah mula mengidap penyakit walaupun ramai mengetahui bahawa mencegah ialah ubat / tindakan yang paling baik.

7.      Untuk mempertahankan kemerdekaan negara, semua kaum perlulah saling memahami dan menghormati antara satu sama lain untuk mengelakkan berlakunya salah faham. Selain itu,
perkara yang sepatutnya dilakukan oleh setiap warganegara Malaysia ialah mereka harus berusaha bersama-sama demi kemajuan negara agar setanding dengan negara-negara maju yang lain.

8.      Kita seharusnya menghormati golongan warga emas kerana golongan ini yang terlebih dahulu melalui segala permasalahan / kesulitan  daripada kita dan mereka mempunyai pelbagai pengalaman suka dan duka. Kita haruslah mengambil contoh daripada perjalanan hidup mereka pada masa lampau sebagai panduan dalam kehidupan kini.

9.      Perkara yang disenaraikan yang berikut  ialah hak-hak kepenggunaan dengan  mewujudkan pembangunan yang  berorientasikan keperluan asas manusia. Ekoran itu, para pengguna hendaklah merujuk senarai tersebut dalam usaha mempraktikkan tanggungjawab mereka sebagai pengguna.

10.  Bidang hiburan kini telah banyak mengakibatkan gejala berlaku di negara ini seperti masalah sosial remaja, rompakan dan samun dan jenayah-jenayah yang lain lagi. Hal ini demikian kerana media banyak membawa masuk pelbagai unsur hiburan dari luar negara. Para penganjur juga tidak menghiraukan keburukan / kesan  yang akan berlaku kerana mereka hanya mementingkan keuntungan semata-mata.

Jawapan Latihan 2

1.      Hubungan yang erat antara jiran dalam masyarakat merupakan ciri masyarakat yang berkualiti. Semangat kejiranan dapat memainkan peranan yang amat penting dalam usaha menjadikan kehidupan setempat bertambah aman dan harmoni.

2.      Masalah sosial seperti perlakuan sumbang, penderaan kanak-kanak dan kes-kes jenayah yang lain  dapat dibendung jika jiran memainkan peranan dan mengambil inisiatif melaporkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa.

3.      Antara punca yang menyebabkan masalah lumba haram semakin berleluasa adalah kerana sikap sesetengah ibu bapa yang terlalu mengutamakan kerjaya dan mengabaikan tanggungjawab mereka untuk mendidik anak-anak.

4.      Selain itu, pengaruh rakan sebaya juga memainkan peranan yang penting. Oleh sebab anak-anak berasa tertekan di rumah, mereka akan lebih banyak bergaul dengan rakan-rakan di luar rumah dan hal ini akan menyebabkan mereka lebih banyak mempercayai rakan sebaya berbanding ibu bapa mereka sendiri.

5.      Menyedari kepentingan sains dan teknologi pada masa ini, pihak kerajaan telah memberikan pelbagai sokongan dan galakan supaya bidang sains diminati dan dipelajari oleh semua lapisan masyarakat, terutama golongan remaja. Pelbagai penyelidikan bagi merangkakan dan menghasilkan teknologi baharu boleh dilakukan melalui kemahiran sains yang dimiliki oleh golongan remaja, khususnya pelajar.

6.      Pihak berwajib perlu membantu dan memperbanyak pasukan petugas bagi mengawal pencemaran kawasan ikan air tawar, memperketat undang-undang dan meningkatkan denda kepada pihak yang melakukan pencemaran dengan sewenang-wenangnya.

7.      Masalah disiplin dalam kalangan pelajar dikatakan berpunca pada tekanan yang dihadapi oleh para pelajar semasa di sekolah. Sikap guru yang gemar menghukum pelajar atau memberikan kerja sekolah yang banyak tambah membebankan mereka. Pengajaran guru yang membosankan turut menambahkan lagi tekanan dan hal ini mendorong pelajar melakukan sesuatu yang bertentangan dengan peraturan sekolah.

8.      Sikap nafsi-nafsi atau individualistik ini lebih ketara dalam kalangan masyarakat di bandar jika dibandingkan dengan masyarakat di desa. Sikap keakuan yang diamalkan oleh masyarakat kini berlandaskan / bergantung pada faktor atau kehendak semasa.

9.        Keruntuhan moral dalam kalangan remaja berlaku oleh sebab kecuaian para ibu bapa dalam usaha mendidik anak-anak mereka. Ibu bapa zaman sekarang lebih banyak memfokuskan pencarian harta kekayaan semata-mata daripada menumpukan perhatian kepada anak-anak. Didikan agama semakin terabai,  sebaliknya para ibu bapa lebih berbangga sekiranya anak-anak mereka mahir dalam bidang muzik ataupun mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan.

10.  Sikap majikan yang terlalu mementingkan keuntungan tanpa mengambil kira kebajikan pekerja merupakan faktor utama berlakunya kemalangan di tempat kerja. Kebanyakan majikan mengingini sesuatu projek itu dapat segera disiapkan tanpa mempedulikan keselamatan peralatan yang digunakan oleh pekerja mereka.

Jawapan Latihan 3

1.      Banyak faktor yang mempengaruhi remaja menggunakan bahasa yang kurang sopan dalam pertuturan seharian. Faktor emosi, cara didikan keluarga dan suasana persekitaran juga menjadi penentu bermulanya perlakuan ini. Selain itu, pengaruh rakan sebaya juga menjadi penyumbang terhadap masalah ini.

2.      Timbalan Perdana Menteri menjelaskan bahawa sikap buruk sesetengah rakyat yang tidak sayang akan negara ini terbukti apabila mereka lebih banyak memperkatakan keburukan pemimpin Malaysia daripada membincangkan hal pembangunan dan kemakmuran negara pada masa ini.

3.      Penggunaan bahasa Mandarin (Cina) dalam dunia teknologi maklumat kini semakin meluas apabila terdapat semakin ramai orang yang menggunakan bahasa ini untuk melayari internet selain penggunaan bahasa Inggeris.

4.      Sejak kebelakangan ini, masalah sosial sering terjadi seperti yang dilaporkan oleh akhbar-akhbar tempatan setiap hari. Antara punca yang menyebabkan berlakunya masalah tersebut adalah seperti pengaruh rakan sebaya dan ibu bapa yang tidak bertanggungjawab dalam menjalankan / memainkan peranannya.

5.      Pihak Berkuasa Tempatan memang bertanggungjawab menyediakan kemudahan awam yang banyak tetapi tanggungjawab menjaga harta awam tersebut terletak kepada semua pihak dan orang ramai perlu diberikan kesedaran akan tanggungjawab ini.

6.      Antara faktor yang menyebabkan perkara ini berlaku adalah kerana sistem pendidikan yang banyak menekankan aspek peperiksaan dan hal ini dapat dilihat dengan jelas apabila pelajar hanya belajar untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang.

7.      Pada zaman ini, adalah sangat sukar kepada seseorang untuk merahsiakan sesuatu      maklumat. Perkara yang diklasifikasikan sulit dan rahsia boleh menjadi pengetahuan umum dan mudah sekali tersebar ke seluruh pelosok dunia, hanya dalam ( dengan ) sekelip mata / dalam ( dengan ) sekelip mata sahaja.

8.      Wawasan dan perancangan pembangunan yang tepat dan teratur akan menyebabkan kejayaan pesat dalam ekonomi negara dengan adanya kepemimpinan yang baik dan juga rakyat yang sering memberikan kerjasama.\

9.      Orang sering mempersoalkan persoalan sama ada kita hidup untuk makan atau makan untuk hidup?  Namun, ia terpulang kepada individu itu sendiri untuk membuat penilaian yang menjadi pegangannya. Walau bagaimanapun, jika makan yang menjadi pilihannya, sudah pasti individu tersebut ada pandangan dan perspektifnya sendiri dalam mendefinisikan makna sedap atau tidak pada sesuatu jenis makanan itu.

10.  Anak yang aktif dan bijak ialah impian semua ibu bapa. Melihat anak-anak  membesar secara sihat merupakan kepuasan yang tidak ternilai. Bagi merealisasikannya, perkara utama dan paling penting dilakukan ialah memastikan anak anda mendapat makanan yang berkhasiat. Hidangan yang sihat merupakan  antara elemen penting dalam usaha membantu perkembangan otak anak anda.


Jawapan Latihan 4

1.      Selain tanah runtuh yang mengakibatkan kemusnahan sistem saliran semula jadi, masalah lain yang turut kita bimbangi ialah masalah banjir kilat.

2.      Oleh sebab pemikiran kita masih lagi dijajah maka kita beranggapan apa-apa sahaja yang datang dari Barat itulah yang terbaik. Pandangan ini bertambah kukuh apabila rempuhan gelombang globalisasi menerjah pemikiran kita, tidak kira generasi tua mahupun generasi muda.

3.      Pemimpin sekolah merupakan individu  yang bijak mentafsirkan dan memahami tugasan yang diberi, cemerlang dan komited terhadap kerjaya di samping berupaya meningkatkan ilmu pengetahuan agar dapat menterjemahkan dasar pendidikan negara dalam tugasan harian. Hal ini diyakini mampu memberikan didikan terbaik kepada murid.

4.      Penguasaan ilmu dan kemahiran dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi merupakan salah satu / satu daripada aspek kemahiran guru pada abad ke-21. Kemampuan pihak guru mengintegrasikan kurikulum dalam proses pembelajaran merupakan satu nilai tambah untuk dilaksanakan dan mampu membuka minda pelajar untuk mereka berfikir di luar kotak seperti yang dihasratkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.

5.      Walau bagaimanapun, kerajaan juga tidak harus terlepas pandang daripada menjadikan negara kita ini sebagai negara pengeluar barangan makanan, tidak kiralah sama ada ia berasaskan pertanian atau pembuatan dalam skala yang besar dan hal ini  sekali gus dapat mencari penyelesaian terhadap kekurangan bekalan makanan di dalam negara dan sikap kebergantungan pada barangan makanan yang diimport.

6.      Bagi mengekalkan kecergasan dan kesihatan diri pada bulan puasa, anda harus mengelakkan minum minuman yang mempunyai kafein dan air berkarbonat kerana minuman ini boleh mengakibatkan anda cepat berasa dahaga dan lebih kerap membuang air.

7.      Nilai-nilai murni seolah-olah terhakis dalam diri setiap anggota masyarakat dan hal ini berlaku sebagai akibat penggunaan bahasa yang semakin tercemar / tergugat oleh sebab masuknya pengaruh budaya luar yang negatif.

8.      Apabila melihat ketelitian dan cara bekerja seseorang chef, pasti ramai yang tertanya-tanya perkara yang membezakan seseorang chef dengan chef yang lain. Hal ini demikian kerana sudah terlalu banyak program televisyen termasuklah program realiti yang berkaitan dengan kehebatan golongan ini yang digelar sebagai antara chef terbaik dunia.

9.      Perut buncit lazimnya berlaku sebagai akibat makan terlalu banyak serta pengumpulan toksin yang berlebihan di dalam tubuh. Toksin terdapat dalam setiap makanan yang anda makan dan produk yang anda gunakan. Bahan beracun yang banyak berkumpul pada setiap hari akan membebani tubuh sehingga menjejaskan keupayaannya bagi memproseskan dan mengumuhkan toksin dengan sempurna.

10.  Kini peluang pekerjaan memanglah ada tetapi jumlahnya amat terhad berbanding jumlah permintaan ribuan siswazah yang ada dalam pasaran tenaga kerja. Senario inilah yang dihadapi oleh para siswazah kini sehingga menyebabkan golongan ini terguris hati apabila digelar sebagai penganggur terhormat.


Sabtu, 26 Mac 2011

Banyak: KA atau Apa?

Oleh Mohd Rashid Darham

Dalam pembelajaran bahasa, menguasai penggunaan perkataan secara gramatis merupakan aspek yang paling penting. Untuk mencapai penguasaan ini, antara perkara paling asas yang perlu diketahui adalah jenis perkataan, selain makna dan konteks penggunaannya. Kesilapan mengkategorikan sesuatu perkataan boleh mengakibatkan penjanaan frasa dan ayat yang tidak gramatis. Untuk memastikan jenis sesuatu perkataan, pengetahuan mengenai ciri perkataan berkenaan semata-mata belum memadai. Aspek yang lebih penting ialah pengetahuan tentang fungsi perkataan tersebut dalam ayat.

Pergantungan pada aspek ciri semata-mata boleh mengakibatkan kekeliruan dan kesilapan dalam penjenisan sesuatu perkataan. Antara perkataan yang boleh menyebabkan keadaan ini adalah banyak. Berdasarkan cirinya yang boleh menerima kehadiran kata/imbuhan penguat, banyak memang berpotensi untuk dikategorikan sebagai kata adjektif (KA). Persamaan ketara ciri banyak dengan KA, misalnya pintar, besar, pantas, jelas dan lazat, dapat dilihat dalam jadual (1) yang berikut:

Jadual (1): Persamaan ciri banyak dengan KA

Pintar amat pintar pintar sekali sungguh pintar terpintar pintarnya
Besar amat besar besar sekali sungguh besar terbesar besarnya
Pantas amat pantas pantas sekali pantas sungguh terpantas pantasnya
Jelas amat jelas jelas sekali jelas sungguh terjelas jelasnya
Lazat amat lazat lazat sekali lazat sungguh terlazat lazatnya
Banyak amat banyak banyak sekali sungguh banyak terbanyak banyaknya

Walau bagaimanapun, pengkategorian sesuatu perkataan berdasarkan cirinya semata-mata belum memadai. Hal ini sedemikian kerana terdapat sebilangan perkataan yang berbeza kategori tetapi mempunyai ciri yang sama. Contoh frasa (2a-g) yang berikut dapat membuktikan kenyataan ini.

(2) a. Amat menyanjung
b. Amat membantu
c. Paling menitikberatkan
d. Sangat dihargai
e. Sungguh dimuliakan
f. Sangat terdesak
g. Amat berhasrat

Dalam (2a-g), menyanjung, membantu, menitikberatkan, dihargai, dimuliakan, terdesak dan berhasrat ialah kata kerja (KK). Menyanjung, membantu dan terdesak ialah KK asal manakala menitikberatkan, dihargai, dimuliakan dan berhasrat ialah KK terbitan. Semua KK ini dapat menerima kehadiran kata penguat seperti amat, sangat, sungguh dan paling.

Oleh sebab pengkategorian perkataan berdasarkan ciri semata-mata tidak menjamin ketepatannya, kaedah lain perlu digunakan untuk mengatasi masalah ini. Kaedah lain yang biasa digunakan adalah dengan melihat fungsi sesuatu perkataan. Untuk menentukan sama ada banyak dapat dikategorikan sebagai KA, perlu diteliti sama ada ia dapat memenuhi tiga fungsi utama KA, iaitu (3a-c) yang berikut:

(3) a. Penerang kata nama (KN) dalam pembentukan frasa nama (FN)
b. Penerang KK dalam pembentukan frasa kerja (FK)
c. Predikat ayat

Contoh KA yang berfungsi sebagai penerang KN dapat dilihat dalam ayat (4a-c) yang berikut:

(4) a. Pelajar pintar itu menyambung pelajaran di luar negara.
b. Rumah besar itu bernilai kira-kira RM500,000.
c. Pelari pantas itu memenangi perlumbaan 100 meter.

Dalam (4a-c), KA pintar, besar dan pantas masing-masing berfungsi menjadi penerang KN pelajar, rumah dan pelari. Contoh KA yang berfungsi sebagai penerang KK dapat dilihat dalam ayat (5a-c) yang berikut:

(5) a. Angin bertiup kencang malam tadi.
b. Kita jangan ketawa besar melihat kejatuhan orang lain.
c. Usain Bolt memecut pantas untuk memenangi perlumbaan itu.

Dalam (5a-c), KA kencang, besar dan pantas masing-masing berfungsi menjadi penerang KK bertiup, ketawa dan memecut. Contoh KA yang berfungsi sebagai predikat ayat dapat dilihat dalam ayat (6a-c) yang berikut:

(6) a. Pelajar itu pintar.
b. Rumah itu besar.
c. Pelari itu pantas.

Dalam (6a-c), KA pintar, besar dan pantas masing-masing berfungsi sebagai predikat ayat (6a), (6b) dan (6c). Sekiranya pengkategorian banyak sebagai KA hendak dipertahan, ia harus dapat memenuhi fungsi-fungsi ini. Sebagai penerang KN, banyak dapat menimbulkan masalah. Hal ini dapat diperhatikan daripada ayat (7a-d) yang berikut:

(7) a. *Buku banyak dibeli oleh Sarah.
b. *Wang banyak tidak menjamin kebahagiaan.
c. *Ikan mengandungi protein banyak.
d. *Beliau mempunyai idea banyak.

Kejanggalan (7a-d) adalah kerana binaan FN buku banyak, wang banyak, protein banyak dan idea banyak yang tidak jitu. Keadaan ini menunjukkan bahawa banyak tidak dapat memenuhi fungsi sebagai penerang FN, baik FN berkenaan berfungsi sebagai subjek ayat (7a-b) mahupun objek ayat (7c-d). Sebagai penerang KK, banyak juga dapat menimbulkan masalah. Hal ini dapat diperhatikan daripada ayat (8a-d) yang berikut:

(8) a. *Kita belajar banyak daripada pengalaman.
b. *Atlet itu berlatih banyak.
c. *Kita disarankan bersukan banyak untuk menyihatkan tubuh.
d. *Kita dinasihati supaya berbuat baik banyak.

Kejanggalan (8a-d) adalah kerana binaan FK belajar banyak, berlatih banyak, bersukan banyak dan berbuat baik banyak yang tidak jitu. Keadaan ini menunjukkan bahawa banyak tidak dapat memenuhi fungsi sebagai penerang FK, baik FK berkenaan berfungsi sebagai FK utama (8a-b), FK sampingan (8c) mahupun FK subklausa (8d).
Walau bagaimanapun, sebagai predikat ayat, banyak tidak menimbulkan masalah. Hal ini dapat diperhatikan daripada ayat (9a-c) yang berikut:

(9) a. Buku di atas rak itu banyak.
b. Wangnya banyak.
c. Protein ikan banyak.

Ayat (9a-c), yang predikatnya ialah banyak, adalah gramatis. Hal ini menunjukkan bahawa banyak dapat memenuhi fungsi sebagai predikat ayat. Daripada tiga fungsi utama KA yang telah dibincangkan, banyak hanya dapat memenuhi satu fungsi iaitu sebagai predikat ayat. Walau bagaimanapun, keadaan ini belum memadai untuk membolehkan kesimpulan dibuat bahawa banyak ialah KA. Hal ini kerana fungsi ini (predikat ayat) juga dapat dipenuhi oleh kesemua kategori frasa yang lain, iaitu FK, FN dan FSN, selain FA sendiri. Ayat (10a-d) yang berikut dapat membuktikan hakikat ini:

(10) a. Naufa mengulang kaji pelajaran di rumah.
b. Muhammad pelajar terbaik sekolahnya.
c. Sarah ke luar negara untuk melanjutkan pelajaran.
d. Pekerja itu rajin dan berdedikasi.

Predikat ayat (10a-d) terdiri daripada FK mengulang kaji, FN pelajar terbaik, FSN ke luar negara dan FA rajin. Kejituan ayat-ayat ini membuktikan bahawa semua kategori frasa dapat berfungsi sebagai predikat ayat. Oleh sebab banyak tidak dapat berfungsi sebagai penerang KN dan KK, kemungkinannya ialah ia tidak dapat dikategorikan sebagai KN, KK dan juga KA. Hal ini kerana ketiga-tiga kategori frasa ini dapat memenuhi fungsi berkenaan.

(11) a. Dewan peperiksaan
b. Bilik tidur
c. Rumah usang
d. Berlari-lari anak
e. Terbang pulang
f. Berjalan pantas

Penerang KN dewan, bilik dan rumah dalam (11a-c) terdiri daripada KN peperiksaan, KK tidur dan KA usang. Penerang KK berlari-lari, terbang dan berjalan dalam (11d-f) terdiri daripada kategori kata yang sama, iaitu KN anak, KK pulang dan KA pantas. Penelitian ini menunjukkan bahawa KK, KN dan KA dapat memenuhi fungsi sebagai penerang FN dan FK.

Oleh sebab banyak tidak dapat memenuhi fungsi ini, kemungkinan ia dimasukkan ke dalam kategori perkataan lain (kata tugas) harus diteroka. Untuk tujuan ini, perhatikan semula ayat (7a-d) yang tidak gramatis kerana posisi banyak adalah di belakang KN. Sekiranya banyak diletakkan di hadapan KN, ayat yang terjana (7a’-d’) adalah jitu.

(7) a’. Banyak buku dibeli oleh Sarah.
b’. Banyak wang tidak menjamin kebahagiaan.
c’. Ikan mengandungi banyak protein.
d’. Beliau mempunyai banyak idea.

Dalam keadaan yang merupakan kekecualian daripada hukum D-M (Diterangkan-Menerangkan) dalam pembentukan sesuatu FN, Tatabahasa Dewan (TD) edisi ketiga (2008: Hlm. 378) menggariskan dua kategori perkataan yang dapat hadir di hadapan KN untuk berfungsi sebagai penerang KN berkenaan. Dua kategori perkataan tersebut ialah bilangan dan panggilan/gelaran. Dari segi makna atau semantik, diketahui bahawa banyak bukan kata panggilan/gelaran. Oleh itu, kemungkinan banyak dikategorikan sebagai kata bilangan harus diteroka. Antara contoh kata bilangan yang berfungsi sebagai penerang KN yang diberikan oleh TD adalah:

(12) a. Sekawan burung
b. Sekalian hadirin
c. Segelintir penduduk
d. Semua pasukan
e. Segala perkakas
f. Para tetamu

Ujian penggantian kata bilangan sekawan, sekalian, segelintir, semua, segala, dan para dengan kata banyak tidak menghadapi sebarang masalah. Dengan kata lain, FN yang terbentuk (12a’-f’) tetap gramatis.

(12) a’. Banyak burung
b’. Banyak/ramai hadirin
c’. Banyak/ramai penduduk
d’. Banyak pasukan
e’. Banyak perkakas
f’. Banyak/ramai tetamu

Hasil ujian ini menunjukkan bahawa banyak lebih berpotensi untuk dikategorikan sebagai kata bilangan, bukannya KA. Selain itu, dalam penjelasannya mengenai penjenisan KA, TD (2008: Hlm. 226-234) membahagikan KA kepada sekurang-kurang sembilan jenis, iaitu:

(13) a. Sifatan atau keadaan
b. Warna
c. Ukuran
d. Bentuk
e. Waktu
f. Jarak
g. Cara
h. Perasaan
i. Pancaindera

Daripada sembilan jenis KA ini, tiada satupun nampaknya yang dapat menerima banyak sebagai ahlinya. TD juga tidak mengemukakan banyak dalam mana-mana contoh KA yang diberikan.

Dari segi makna juga, banyak lebih rapat hubungannya dengan maksud bilangan, khususnya bilangan tidak tentu. Hal ini sedemikian kerana banyak hanya boleh digandingkan dengan KN sekiranya KN berkenaan merujuk maksud bilangan jamak. Hal ini berbeza dengan KA yang dapat digandingkan dengan KN tanpa mengira sama ada KN berkenaan merujuk maksud bilangan tunggal atau jamak.

Walau bagaimanapun, sebelum keputusan yang lebih meyakinkan dapat dibuat, ada seperkara lagi yang harus diperhatikan. Ia berkaitan dengan kebolehan banyak hadir di hadapan KK dalam pembentukan FK. Sebagai contoh, perhatikan semula ayat (8a-d) yang diubahsuai dengan mengubah kedudukan banyak ke hadapan KK, dan dicatatkan semula sebagai (8a’-d’).

(8) a’. Kita banyak belajar daripada pengalaman.
b’. Atlet itu banyak berlatih.
c’. Kita disarankan banyak bersukan untuk menyihatkan tubuh.
d’. Kita dinasihati supaya banyak berbuat baik.

Ayat (8a’-d’) gramatis kerana kedudukan banyak adalah di hadapan FK belajar, berlatih, bersukan dan berbuat baik. Keadaan ini tidak mendatangkan masalah kerana kata bilangan sememangnya dapat hadir di hadapan KK (14a-d).

(14) a. Sekali pandang
b. Seratus kali mencuba
c. Beberapa kali meraih kejayaan
d. Kerap (kali) datang

Dalam (14a-d), kata bilangan tentu sekali dan seratus kali masing-masing hadir di hadapan KK pandang dan mencuba, manakala kata bilangan tidak tentu beberapa kali dan kerap kali masing-masing hadir di hadapan KK meraih kejayaan dan datang. Kejituan (14a-d) menunjukkan bahawa kata bilangan sememangnya dapat hadir di hadapan KK.

Daripada pemerhatian ini, dapatlah disimpulkan bahawa banyak lebih berpotensi untuk dikategorikan sebagai kata bilangan berbanding KA. Seperti yang telah ditunjukkan, pengkategorian banyak sebagai kata bilangan tidak menimbulkan masalah dalam pembinaan FN dan FK, seterusnya dalam pembinaan ayat juga. Keadaan sebaliknya wujud apabila banyak dikategorikan sebagai KA.