Definisi Penterjemahan
Proses pemindahan maklumat dari bahasa sumber/asal ke bahasa sasaran/penerima
dengan mengekalkan makna, struktur dan gaya. Dalam konteks kursus LKM003, bahasa
sumber ialah bahasa Inggeris (BI) manakala bahasa sasaran ialah bahasa Malaysia
(BM). Hasil proses ini ialah terjemahan.
Yang paling penting dikekalkan ialah makna
maklumat (teks). Keseluruhan makna teks hendaklah dikekalkan dengan beberapa
pengecualian. Struktur juga hendaklah dikekalkan khususnya struktur karangan
dan perenggan. Oleh sebab wujud perbezaan antara struktur ayat BI dengan
struktur ayat BM, pengekalan struktur ayat tidak dapat dipertahankan. Begitu
juga halnya dengan struktur frasa (big house-rumah besar). Aspek gaya, misalnya
penggunaan peribahasa dan metafora, juga perlu dikekalkan.
Jenis Terjemahan
Pada umumnya, terdapat tiga jenis
terjemahan iaitu kata demi kata, harfiah dan bebas. Kesesuaian jenis terjemahan
bergantung pada golongan bahasa sumber dan bahasa sasaran. Misalnya, bagi bahasa
sumber yang struktur ayatnya sama dengan struktur ayat bahasa sasaran,
terjemahan jenis kata demi kata sesuai digunakan. Contohnya ialah bahasa Arab (bahasa
sumber) dengan bahasa Malaysia (bahasa sasaran).
Yang berikut ialah penjelasan jenis-jenis
terjemahan. Huraian dibuat berdasarkan cadangan bahawa bahasa sumber ialah BI
manakala bahasa sasaran ialah BM. Ingatlah bahawa struktur frasa dan struktur
ayat kedua-dua bahasa adalah berbeza.
a) Kata Demi Kata
Penterjemahan dibuat dengan mengikut susunan perkataan bahasa sumber tanpa
menghiraukan perbezaan struktur bahasa, khususnya struktur ayat, bahasa sumber
dengan bahasa sasaran. Kaedah penterjemahan ini tidak baik kerana ia cenderung
untuk melanggar tatabahasa bahasa sasaran dan mungkin lari daripada makna
sebenar.
Contoh terjemahan kata demi kata adalah seperti yang berikut:
Teks asal (Terjemahan kata demi kata)
1. Ladies and gentlemen. (Puan-puan dan tuan-tuan.)
2. She is a USM lecturer. (Dia ialah seorang pensyarah USM.)
3. It takes a village to educate a child. (Ia mengambil/memerlukan sebuah
kampung untuk mendidik seorang anak.)
4. There is a crocodile in the river. (Di sana ialah seekor buaya di dalam
sungai itu.)
Analisis kesalahan/kelemahan:
Terjemahan (1) tidak mengambil kira budaya orang Melayu yang lebih mengutamakan
orang lelaki. Terjemahan yang sepatutnya ialah ”Tuan-tuan dan puan-puan” kerana
orang Melayu/Malaysia lebih mengutamakan orang lelaki. Terjemahan (2), (3) dan
(4) meniru bulat-bulat struktur ayat bahasa Inggeris. Struktur seperti ini
tidak terdapat dalam BM.
b) Harfiah
Penterjemahan dibuat berdasarkan maksud sesuatu perkataan semata-mata tanpa
menghiraukan makna perkataan itu dalam konteks budaya, pegangan agama, sudut
pandangan dan fahaman politik penutur bahasa sumber. Kaedah penterjemahan ini
juga tidak baik kerana ia mungkin menghasilkan terjemahan yang maknanya berbeza
daripada makna sebenar. Ia juga mungkin menyinggung perasaan pembaca/khalayak
bahasa sasaran.
Contoh terjemahan harfiah adalah seperti
yang berikut:
Teks asal (Terjemahan harfiah)
1. Thank you. (Syukur kamu.)
2. Ladies and gentlemen. (Laki-laki dan wanita-wanita yang budiman.)
3. Unsung heroes (Wira-wira yang tidak didendangkan)
4. He is a rat. (Dia tikus.)
5. Light blue (Biru terang)
6. Israel’s government (kerajaan Israel)
7. Hamas terrorists (pengganas-pengganas Hamas)
8. I love you, mum. (Saya sayang awak, ibu.)
9. ["dialog kartun Jepun"] (”Wah, daging babi ini sungguh lazat!”)
Analisis kesalahan/kelemahan:
Terjemahan (1), iaitu “syukur kamu”, tidak pernah digunakan oleh masyarakat
Melayu ketika menzahirkan penghargaan terhadap orang yang berbuat baik kepada
mereka. Terjemahan (2) dan (3) tidak menurut cara pengucapan orang Melayu.
Terjemahan (4) menyalahi makna kerana “tikus” dalam bahasa Melayu melambangkan
sikap penakut, sedangkan “tikus” (rat) dalam bahasa Inggeris melambangkan
kehinaan dari segi kedudukan dalam masyarakat. Terjemahan (5) salah. Yang
sepatutnya ialah “biru muda”. Terjemahan (6) dan (7) tidak mengendahkan fahaman
politik / pegangan agama masyarakat Melayu/Malaysia yang tidak mengiktiraf
kewujudan negara/kerajaan Israel dan menganggap orang-orang Yahudi menduduki
secara haram wilayah Palestin. Oleh itu, pada pandangan masyarakat
Melayu/Malaysia “kerajaan Israel” tidak wujud, dan orang-orang yang menentang
pihak yang menduduki secara haram wilayah mereka (Palestin/Hamas) tidak boleh
dianggap “pengganas”.
Terjemahan (8) dan (9) tidak mengendahkan sensitiviti masyarakat Melayu yang
menganggap penggunaan kata ganti diri “awak” terhadap ibu mereka (8) adalah
biadap, sementara “daging babi” (9) pula adalah haram dan dianggap jijik oleh
masyarakat Melayu. Oleh itu, kata ganti diri “awak” tidak seharusnya digunakan
terhadap “ibu”. Masyarakat Melayu tentu tidak dapat menerima penyataan bahawa
“daging babi” yang haram dan jijik itu “lazat”.
c) Bebas
Penterjemahan dilakukan tanpa terikat dengan budaya, pegangan agama, sudut
pandangan dan fahaman politik pengarang asal. Ia juga tidak terikat dengan
struktur frasa dan ayat bahasa sumber (tetapi ia terikat dengan struktur frasa
dan ayat bahasa sasaran).
Contoh terjemahan bebas (dan betul) adalah seperti yang berikut:
Teks asal (Terjemahan bebas)
1. Thank you. (Terima kasih.)
2. Ladies and gentlemen. (Tuan-tuan dan puan-puan.)
3. Unsung heroes (Wira-wira yang dilupakan)
4. He is a rat. (Dia kucing/anjing kurap.)
5. Light blue (Biru muda)
6. Israel’s government (Rejim Israel)
7. Hamas terrorists (Pejuang-pejuang Hamas)
8. I love you, mum. (Saya sayang ibu.)
9. ["dialog kartun Jepun"] (”Wah, masakan ini sungguh lazat!”)
10. She is a USM lecturer. (Dia pensyarah USM.)
11. It takes a village to educate a child. (Kerjasama seluruh ahli masyarakat
diperlukan untuk mendidik seorang anak.)
12. There is a crocodile in the river. (Ada seekor buaya di dalam sungai itu.)
Selain perkara-perkara yang telah dijelaskan, ada aspek lain yang perlu
dipertimbangkan dalam penterjemahan. Aspek tersebut ialah pengetahuan
pembaca/khalayak sasaran mengenai sesuatu perkara. Misalnya, terjemahan “sebuah
pekan kecil di utara Lille” tentulah tidak memberikan apa-apa pengertian kepada
pembaca di Malaysia kerana mereka tidak mengetahui kedudukan “Lille”. Sekiranya
maklumat ini tidak perlu diketahui oleh pembaca, ia boleh dibuang sahaja.
Sebaliknya, jika maklumat kedudukan “pekan kecil itu” dan “Lille” perlu
diketahui, penterjemah perlu memberikan maklumat tambahan / mengubah suai
maklumat. Misalnya, maklumat “sebuah pekan kecil di utara Perancis” lebih
dimengerti oleh pembaca di Malaysia.
Sebaliknya, maklumat “Alor Setar yang terletak di utara semenanjung” tentulah
tidak perlu bagi khalayak/pembaca Malaysia kerana mereka memang mengetahui
kedudukan bandar raya itu. Oleh itu, maklumat kedudukan bandar raya berkenaan
tidak perlu ada dalam terjemahan.
Istilah lain yang ada kaitan dengan penterjemahan
Transliterasi
Dibuat dengan meminda perkataan, khususnya istilah, dengan cara mengubah
sedikit ejaan /sebutan tetapi tetap mengekalkan perkataan/istilah berkenaan
mengikut bahasa sumbernya. Contoh:
Idealogy – Idealogi
University – Universiti
Melamine – melamin
Carbon monoxide – Karbon monoksida
Adaptasi
Dibuat dengan meniru karya asal dengan cara mengambil cerita dasarnya (plot)
sahaja. Nama-nama watak, latar tempat, latar masa dan latar budaya menggunakan
unsur tempatan. Contohnya, “Bawang Puteh Bawang Merah” diadaptasi daripada
“Cinderella”.
Kesimpulan
Dalam penterjemahan, tidak semestinya maklumat dari bahasa asal dipindahkan 100
peratus ke bahasa sasaran. Maklumat boleh dipinda, ditambah atau dikurangkan.
Dengan kata lain, seseorang penterjemah tidak melakukan kerja penterjemahan
semata-mata. Beliau seharusnya melakukan juga tugas pengeditan. Dalam hal ini,
seseorang penterjemah perlu mengambil kira perkara-perkara yang berikut:
1) Perbezaan struktur bahasa (frasa & ayat) bahasa asal dengan bahasa
sasaran.
2) Perbezaan budaya, pegangan agama, sudut pandangan, fahaman politik
pengarang asal dengan pembaca/khalayak bahasa sasaran.
3) Tahap pengetahuan pembaca/khalayak sasaran.